KOMPOSER tersohor negara Othman Mohamed dilaporkan meninggal dunia di kediamannya Shah Alam, Selangor pada malam Ahad dipercayai akibat sesak nafas.
Allahyarham yang juga abang kepada penyanyi lagu Kau Pergi Jua, Allahyarham Adam Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada usia 65 tahun.
Laman Facebook Universiti Teknologi Mara dalam kemas kini menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Othman.
Menurut kemas kini berkenaan, Allahyarham merupakan pencipta lagu "UiTM Di Hatiku” dan merupakan alumni universiti berkenaan yang juga pengambilan pertama dalam jurusan Diploma Muzik pada 1984.
Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, anak kedua Allahyarham, Izwana Othman, 36, mengesahkan pemergian bapanya.
Jelasnya, Allahyarham dalam keadaan sihat sebelum mengalami demam, dua hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Jenazah Othman disempurnakan di Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pagi tadi.
Semasa hayatnya, Othman menghasilkan beberapa lagu malar segar antaranya Kau Pergi Jua, Di Hari Persandinganmu, Episod Cinta, Hanya Di Radio dan banyak lagi.
Sumber: Astro Awani