"HATI ini luluh ya ALLAH!"
Sayunya melihat tangisan usahawa wanita yang juga pengasas kosmetik dikenali sebagai JL Fara selepas restoran terapung miliknya hanyut dibawa arus Sungai Kelantan.
Video tular di laman sosial memaparkan houseboat yang dikatakan mencecah harga RM1.2 juta berhampiran Tambatan Diraja hanyut susulan hujan lebat dan arus deras sehingga menyebabkan banjir melanda Pantai Timur.
Menurut Fara, restoran yang hanyut itu telah ditemui, namun terdapat kerosakan teruk terutama di bahagian dapur selepas ditimpa oleh pokok besar.
"Hati luluh ya ALLAH, semalam JL Fara Houseboat baru sahaja ditimpa pokok besar sehingga hancur dapur. Hari ini kedua-dua houseboat Kak Fara hanyut, personal dan restoran.
"Houseboat ini antara saksi kejayaan Kak Fara yang mana sebelum adanya nasi berlauk JL Fara. Dengan nilai houseboat hampir cecah RM1.2 juta,” katanya pada video yang tular.
Wanita itu sempat menceritakan kronologi kejadian yang bermula susulan hujan lebat dan pokok tumbang.
Kejadian jam 3.29 petang itu berlaku semasa hujan lebat serta arus sungai deras sehingga menyebabkan tali yang mengikat 'houseboat' itu terputus.
"Sebelum tali terputus disebabkan arus deras, suami ada memaklumkan pada saya untuk menambah lagi bilangan tali untuk memastikan 'houseboat' tidak dihanyutkan.
Menurut Fara, kejadian itu melibatkan dua bahagian house boat berkenaan iaitu restoran dan rumah peribadi serta sebuah bot yang diletakkan bersama binaan itu.
Ujarnya, sebelum kejadian itu pada Selasa malam sebuah pokok besar telah tumbang dan menimpa bahagian dapur 'houseboat' sekitar jam 8 malam.
Bimbang dengan situasi itu, beliau dan kakitangan terpaksa berjaga hingga ke Subuh untuk membersihkan sisa-sisa pokok yang tumbang itu.
"Saya tidak sangka petang ini pula 'houseboat' yang hanyut. Letih malam tadi belum hilang lagi.
"Bagaimanapun Alhamdulillah sekitar jam 6.30 petang tadi kami menerima perkhabaran gembira, apabila ada penduduk yang telah ternampak dan menyelamatkan 'houseboat'," katanya.
Beliau memberitahu, bahagian 'houseboat' kecil ditemukan di Kampung Laut, Tumpat manakala yang besar pula di Kampung Keseng, berhampiran Pantai Cahaya Bulan.
Menurut JL Fara, suaminya bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang menuju ke lokasi berkenaan untuk mengambil semula 'houseboat' yang hanyut.
"Terima kasih kepada penduduk kampung yang baik hati. Saya dimaklumkan ada sebuah keluarga dengan anak-anak kecil menaiki bot siap tolong selamatkan 'houseboat' kami daripada terus dihanyutkan.
"Alhamdulillah, rakyat Kelantan baik-baik semuanya," katanya.
Sebelum itu tular di TikTok serta Facebook video yang memaparkan detik-detik 'houseboat' milik JL Fara dihanyutkan arus deras di Sungai Kelantan.
"Semalam kami tak tidur sehingga subuh, sebab rakit hampir tenggelam akibat pokok jatuh. Hari ini air sungai dah naik dan laut. JL Fara Houseboat tak dapat bertahan.
Dalam pada itu, dia turut bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang membantu pencarian restoran terapung mereka yang hanyut di sungai.
"Terima kasih yang mendoakan, terima kasih yang sanggup menolong kami, ada yang naik sampan, yang naik bot bersama anak. Ya ALLAH terima kasih yang tak terhingga.
Sementara itu, sumber dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, ketika kejadian, tiada pelanggan atau individu dalam rumah bot itu.
"Kebetulan pejabat Unit Marin APM Kelantan terletak hanya beberapa meter sahaja dari lokasi kejadian dan anggota kami segera menghidupkan sebuah bot untuk ‘mengejar’ restoran rumah bot serta rakit terbabit bersama pemiliknya.
"Dengan dibantu penduduk kampung yang turut bersama menggunakan dua bot, restoran terapung itu berjaya diselamatkan di Kuala Besar iaitu kira-kira lima km dari lokasi asal.
Sumber itu berkata restoran rumah bot serta rakit itu kini ditambat pada sebatang pokok di Kuala Besar dan terdapat sedikit kerosakan kerana berlalu pelanggaran.
Katanya, kejadian terbabit dipercayai berlaku kerana tali pengikat rumah bot itu terputus akibat pokok tumbang malam sebelumnya.
"Arus Sungai Kelantan yang deras sejak petang tadi menyebabkan tali pengikat terputus kerana berlaku geseran seterusnya menghanyutkan rumah bot bersama rakit di belakangnya.
"Alhamdulillah hasil tindakan pantas anggota kami bersama penduduk kampung dapat menyelamatkan rumah bot itu dari terus hanyut ke laut,” tambahnya lagi.
Sumber: Sinar Harian, Buletin TV3