NIAT murni merealisasikan impian mereka mahu tunai haji tahun 2025, dua pemuda sudah mulai berjalan kaki dari Bagan Serai, Perak menuju ke Makkah.
Pemuda dikenali sebagai Mohamad Al-Bukhari Ellia,26 dan sahabatnya, Mohamad Azizul Abdullah,34, sudah memulakan perjalanan dari Masjid Jamek Kampung Changkat Lobak, Bagan Serai, Perak pada 10.30 pagi, 1 Disember 2024.
Mohamad Al -Bukhari yang hanya memiliki sebelah buah pinggang setelah mendermakan kepada isterinya yang menghidap penyakit buah pinggang tiga tahun merancang untuk berjalan kaki ke Makkah selepas mendapat ilham daripada kisah-kisah para sahabat nabi Muhammad SAW yang sering mengembara bagi menyampaikan dakwah syiar Islam.
Malah terdahulu, kedua -duanya telah mempersiapkan diri untuk misi itu dengan membuat latihan berjalan kaki sejauh 220 kilometer (km) dari kediaman mereka di Changkat Lobak ke Cameron Highland pada bulan lalu.
Dalam misi berkenaan, mereka membawa kelengkapan asas seperti dapur memasak, khemah dan bekalan makanan kering yang diletakkan dalam troli yang ditolak Azizul.
Difahamkan, Mohamad Al -Bukhari dan Azizul akan mengikuti jalan raya persekutuan dan jalan raya negeri untuk menuju ke Pintu Sempadan Malaysia - Thailand di Bukit Kayu Hitam dan perjalanan berkenaan dijangka mengambil masa kira -kira dua minggu.
Pada hari pertama, Bukhari dan Azizul sudah melakukan perjalanan sejauh 38km Kampung Changkat Lobak ke Parit Buntar sebelum mengambil keputusan untuk bermalam di sebuah masjid disana.
Sentiasa berkongsi situasi terkini pengembaraan tersebut, Bukhari dan rakannyameneruskan perjalanan ke Bukit Mertajam pada hari kedua dengan jarak 31km dari Parit Buntar dan seterusnya menuju ke Makkah.
Perkongsian berkenaan menerima pelbagai respons dan reaksi positif daripada warga maya yang tidak henti memberikan galakan.
Tidak kurang yang menitip doa agar perjalanan mereka selamat dan ingin menawarkan sumbangan serta penginapan percuma. Ujar mereka:
"Anggaran 90 hari juga untuk sampai ke Makkah Perlu lintasi enam buah negara. Niat yang baik semoga ALLAH mudahkan perjalanan kalian."
"Sebak dan sayu. Luluh rasa hati tengok saha kalian. Saya nak ke masjid yang sejengkal dari rumah pun malas. Allahuakbar."
"Harap sentiasa update pengembaraan ini. Semoga dpermudhkn segala urusan Bukhari dan Azizul.
Sekadar rekod, pada tahun 2023, seorang berstatus orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri Herrynizam nekad menunaikan haji dan berjalan kaki sampai di Makkah.
Selepas 25 hari impian lelaki berusia 44 tahun itu ke Tanah Suci tercapai selepas ada individu menaja penerbangan untuknya ke sana.
Sumber: TikTok Bukhariellia