"DIA isteri yang baik dan sangat taat.'
Demikian luah guru, Cikgu Din atau nama penuhnya Mohammad Izzuddin Izhar, 34, yang baharu kehilangan isteri tercinta, Nur Atiqah My Yusoff, 30 malam tadi.
Berpuas hati apabila dapat menjaga permaisuri hatinya yang menderita kanser tulang rawan tahap empat sehingga ke akhir hayat, guru subjek Pendidikan Islam itu turut mendedahkan berada di sisi wanita kesayangannya hingga menghembuskan nafas terakhir.
"Saya bersyukur ALLAH SWT beri peluang untuk saya menjaganya sehingga nafas terakhir malah sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah," katanya.
Memetik portal berita tempatan, Cikgu Din tidak pernah gagal ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjaga isterinya setiap hari.
"Alhamdulillah, bermula hari pertama dimasukkan ke wad sehingga hayat terakhir isteri, saya setia di sisinya kerana amanahnya adalah untuk pergi dalam keadaan saya berada di sampingnya," katanya.
Pemergian Nur Atiqah turut meninggalkan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia empat tahun, Mohammad Izz Aydan.
Ditanya berkaitan penempatan sekolah selepas isteri meninggal dunia, sama ada di Kelantan atau Sarawak, Cikgu Din menyerahkan hal itu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebaliknya mahu menumpukan mahu mengambil masa untuk merawat emosi selain menumpukan perhatian anak tunggalnya.
Pada Oktober lalu, Cikgu Din tular susulan perkongsian rakannya yang memaklumkan guru tersebut terpaksa berjauhan lebih 4,600 kilometer (km) dengan isteri tercinta, Nur Atiqah yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.
Lebih menyedihkan, Cikgu Din kemudian disahkan menghidap masalah mental atau major depressive disorder (MDD).
KPM mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan dan bersetuju untuk menempatkan Cikgu Din di sekolah berhampiran isterinya untuk tempoh sementara.
Sumber: Harian Metro