DUA tahun berlalu, rumah terapung milik A Bakar Ahmad, 70, atau Pokwe terus menjadi perhatian ramai setiap kali tiba musim bah.
Pernah diperlekeh orang sekeliling, lelaki itu tersohor di seluruh negara sebagai"pencipta rumah terapung” susulan kejayaannya mengapungkan kediamannya ketika bah, menggunakan puluhan dram besar yang diikat di bahagian bawah rumah.
Inovasi anti-gagal, rumah milik warga emas di Kampung Tebak Batu 16, Air Putih, Kemaman itu terapung buat ke sekian kalinya selepas tiga kali dilanda banjir.
Kunjungan media baru-baru ini ke rumah terapung itu mendapati kediaman kayu mereka dikelilingi air separas pinggang orang dewasa.
Sekalipun telah beberapa kali dikunjungi wakil media daripada pelbagai organisasi, Pokwe tidak jemu bercerita tentang inovasinya itu.
Matanya bersinar, teruja, semasa mengimbau cabaran yang dihadapi dalam menyudahkan projek tersebut yang memakan belanja kira-kira RM47,000 yang turut dibantu oleh tujuh orang anaknya.
"Saya mulakan projek ini atas dasar keperluan.
"Setiap tahun apabila bah melanda Terengganu, saya akan berasa sedih mengenangkan mereka yang terjejas. Saya nak buat sesuatu untuk bantu mereka,” katanya mengakui bersedia berkongsi ilmunya dengan orang lain.
Projek kediaman berkenaan yang mampu terapung pada ketinggian 5 meter (m) sekiranya banjir melanda.
Ketika proses pembinaan, warga emas itu telah mengambil kira banyak faktor antaranya termasuklah kelajuan arus banjir.
Tidak dibiarkan begitu sahaja, rumah terapung tersebut kemudian diikat di dua tiang setinggi 6m yang dibina pada sisi kiri dan kanan.
Pokwe juga menggunakan kayu dan 69 biji tong plastik untuk dijadikan sebagai penyokong yang berfungsi sebagai pelampung apabila musim banjir.
Menurut Pokwe, beliau baru sahaja mengikat 20 biji dram lagi pada rumahnya itu, membolehkan beliau memuatkan di atas rumah tanpa menjejaskan daya apung sekalipun paras air terus meningkat.
Mungkin penambahbaikan yang dilakukan oleh Pokwe itu tidak sebesar mana, namun cukup untuk menggambarkan semangat warga emas tersebut yang tidak mudah berpuas hati dengan pencapaiannya.
Video terbaru memaparkan kediaman berkenaan terapung juga tular di laman sosial TikTok hingga meraih 1 juta tontonan. Rata-rata warganet mengagumi inovasi berkenaan.
"Sudah tahun ketiga, kenapa tiada orang meniru inovasi macam ini? Terbaik tuan rumah sekeluarga."
"Maknanya semua rumah yang berisiko banjir wajib buat macam ni. Brilliant idea pakcik."
"Pintar sekali.Inilah yang di namakan sediakan payung sebelum hujan."