PERJALANAN sesebuah jenama dalam dunia perniagaan bukanlah semudah yang dilihat dengan mata kasar, dengan 15 tahun yang penuh suka duka, cabaran dan kejayaan, jenama fesyen Muslimah terkemuka, MINAZ berjaya mewarnai industri fesyen tempatan dengan keunikan koleksi Blooming Raya yang melambangkan keanggunan serta kemewahan.
Umum mengetahui, label fesyen itu menghasilkan pelbagai rekaan eksklusif sejak kemunculan MINAZ Blooming Raya yang pertama. Rentetan itu, butik Muslimah tersebut sentiasa menjunjung tinggi kualiti dan keunggulan rekaan selaras dengan permintaan pelanggan.
Bermula pada tahun 2010, jenama berkenaan kekal mendapat tempat di hati pelanggan yang dikenali sebagai MINAZ Lovers.
Tahun demi tahun, MINAZ teguh dalam misi menawarkan rekaan yang bukan sahaja unik tetapi penuh dengan nilai estetika kesenian yang mendalam. Ketika dunia fesyen semakin berkembang, ia tetap utuh dengan pilihan rekaan persalinan mewah yang diberi sentuhan perhiasan seperti renda, manik dan ribuan rhinestones, menjadikannya sinonim dengan gaya minimalis namun tetap elegan.
Namun, setelah 15 tahun mengukir sejarah dalam koleksi baju raya fesyen tempatan, MINAZ Blooming Raya kini berada di penghujung perjalanan.
Dalam meraikan momen bersejarah ini, MINAZ dengan penuh bangga mengumumkan kembalinya dua figura ikonik, Rozita Che Wan dan Aaisyah Dhia Rana, yang pernah menjadi wajah kempen MINAZ Blooming Raya pada tahun 2017 melalui koleksi Blooming Raya.
Ketika itu, kempen tersebut mencipta fenomena luar biasa dan meninggalkan impak mendalam terutama di hati peminat figura seni dan jenama berkenaan.
SinarPlus yang menjadi salah satu media yang dijemput dalam majlis pelancaran tersebut berkesempatan menemu bual pengasas MINAZ, Hafiza Abd Hamid yang mesra disapa Pija.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kejayaan yang dikecap hasil kolaboratif bersama selebriti itu membuatkan pihaknya tidak ragu-ragu untuk membawa ibu dan anak itu sekali lagi sebagai muse bagi koleksi terakhir.
"Pemilihan Che Ta dan Aaisyah bukan sekadar simbolik, tetapi sebuah perjalanan yang penuh emosi dan kenangan indah. Koleksi terakhir ini juga bukan sekadar penghujung perjalanan, tetapi ia adalah penghormatan kepada setiap wanita yang menjadikan koleksi MINAZ Blooming Raya sebahagian daripada hidup mereka.
"Kami ingin menutup kisah ini dengan penuh makna, dan siapa lagi yang lebih sesuai untuk mencipta momen istimewa ini selain Rozita Che Wan dan Aaisyah, yang telah bersama kami di salah satu kejayaan terbesar MINAZ Blooming Raya.
"Kempen MINAZ Blooming Raya – The Final Chapter ini juga bukan hanya meraikan keindahan fesyen, tetapi juga meraikan ikatan yang kuat antara ibu dan anak,” kata Pija lagi.
Pratempahan dua bulan
Dalam edisi terakhir tersebut, Che Ta kembali bersama puteri kesayangannya, Aisyah Dhia Rana, yang kini menjadi seorang anak gadis jelita, sekali gus melengkapkan konsep ibu dan anak beraya dan membangkitkan keanggunan yang memukau.
Koleksi berkenaan mempersembahkan konsep gaya ibu dan anak yang sangat menyentuh hati. Pilihan yang tepat untuk menggambarkan keindahan konsep fesyen sedondon raya yang dibawakan oleh MINAZ, melainkan dengan keanggunan dan kelembutan yang dimiliki oleh Che Ta dan Aisyah Dhia Rana.
Dalam pada itu, butik berkenaan turut memperkenalkan MINAZ GALLERY 2025, sebuah pameran eksklusif yang memaparkan perjalanan indah di sebalik pembikinan koleksi ikonik jenama berkenaan ,"Blooming Raya.”
"Bermula dari idea kreatif hingga sentuhan akhir, galeri ini adalah penghargaan kepada warisan MINAZ dan cara kami meraikan setiap momen berharga bersama pelanggan setia. Pameran tu mengajak para pengunjung untuk menyelami sejarah dan proses unik dalam menghasilkan setiap koleksi"Blooming Raya.”
"Anda akan berpeluang melihat secara dekat bagaimana inspirasi dan dedikasi kami diterjemahkan menjadi rekaan-rekaan anggun yang menawan. Setiap sudut galeri ini menceritakan kisah yang berbeza – dari lakaran awal, pemilihan kain, hingga proses jahitan yang teliti," ungkap Pija lagi.
Ditanya mengapa hanya 20 rekaan yang dipertaruhkan kali ini berbanding koleksi terdahulu, ini jawapan empunya butik.
"Dalam usaha untuk mengelakkan lambakan produk yang berlebihan, kami juga mengutamakan kualiti dan eksklusiviti dalam setiap koleksi yang dikeluarkan.
"The Final Chapter bukan sekadar satu sesi memperagakan koleksi raya, tetapi satu penghormatan kepada perjalanan MINAZ yang setia menemani pelanggan sepanjang tahun-tahun lalu.
"Justeru, setiap helaian busana menawarkan kualiti yang premium, persalinan mewah yang menggabungkan elemen tradisional dan trend semasa. Sebagai penutup, kami ingin memastikan setiap pelanggan berpeluang merasai keindahan dan keanggunan koleksi kali ini,” dedah Pija yang turut menyediakan koleksi untuk bayi.
Tambah beliau lagi, sebagai sebuah jenama yang sentiasa mengutamakan kepuasan pelanggan, MINAZ mengambil langkah membuka pratempahan lebih awal, yakni dua bulan sebelum ketibaan tahun 2025, bagi memastikan setiap pelanggan dapat menikmati koleksi yang terakhir itu tanpa sebarang kebimbangan.
Mengulas lanjut mengenai MINAZ Blooming Raya yang kini berada di penghujung perjalanan. Keputusan itu menurut Pija bukan sesuatu yang mudah, tetapi ianya merupakan sebuah keputusan yang penuh makna dan kenangan.
"MINAZ tidak hanya sekadar jenama, tetapi telah menjadi sebahagian daripada hidup ramai pelanggan yang mengikuti perkembangan dan karya kami sepanjang lebih satu dekad.
"Insya-Allah, we will do better. Walaupun edisi Blooming Raya ini bakal melabuhkan
tirai, kenangan indah sepanjang perjalanan ini akan terus dikenang.
"Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus, koleksi ini adalah buah tangan istimewa dari MINAZ untuk yang terakhir kepada anda semua. Ini bukanlah satu pengakhiran, tetapi permulaan baharu ‘The New Chapter of MINAZ' untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik,’’ kata Pija lagi.