CHOCO Albab, jenama coklat tempatan yang semakin dikenali, dengan bangga meraikan sambutan ulang tahunnya yang Ke-3 baru-baru ini.
Acara istimewa tersebut menandakan tiga tahun usaha gigih dalam membina empayar perniagaan yang bukan sahaja memenuhi citarasa pelanggan, tetapi juga menjadi platform untuk membantu orang ramai menjana pendapatan tambahan.
Pengasas Choco Albab, Said Saiful Fazli Said Aluwi ketika berkongsi kejayaan tiga tahun yang penuh bermakna itu berkata, misi dan matlamatnya adalah jelas iaitu ingin mencipta perniagaan yang mampu membahagiakan semua orang.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Saudagaar Asia Sdn Bhd berkata, dalam masa tiga tahun, Choco Albab telah mencapai kejayaan yang membanggakan iaitu membahagiakan sekitar 100 ribu agen dan melahirkan puluhan Crown Leader.
Ia katanya adalah satu pencapaian luar biasa hasil usaha sama seluruh pasukan.
"Inspirasi saya hanya satu, bulatkan azam dan melangkah terus ke hadapan berbekalkan pengalaman dan kepakaran yang saya timba selama 14 tahun dalam dunia perniagaan.
"Saya gunakan setiap ilmu yang saya pelajari dan aplikasikannya di Choco Albab. Bukan untuk diri saya sendiri tetapi untuk orang ramai. Bersama berkongsi rezeki dan menjana pendapatan," katanya selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-3 Choco Albab bertemakan Beyond the Star di Bangi Avenue Convention Center pada 7 Disember 2024.
Ketika memulakan perniagaan Choco Albab pada tiga tahun lalu, bukan kekayaan peribadi yang ingin dicari Said Saiful tetapi bagaimana ingin membantu lebih ramai rakyat dapat menjana pendapatan.
Justeru itu, melalui konsep agen Choco Albab, Said Saiful memberikan komisyen jualan yang tinggi sebanyak 42 peratus, yang tertinggi berbanding sistem agen produk lain di Malaysia.
Said Saiful ingin membawa sebanyak mungkin rakyat menjana pendapatan dengan Choco Albab dan memberikan mereka kebahagiaan yang luar biasa.
"Kami sediakan platform untuk semua orang buat pendapatan, terutamanya golongan wanita, suri rumah, ibu tunggal dan belia.
"Ia adalah salah satu cara menjana pendapatan selain daripada ekonomi gig. Tidak memerlukan modal yang besar, yuran penyertaan yang rendah selain agen tidak perlu membeli dan menyimpan produk Choco Albab.
"Saya laksanakan sistem ini untuk membantu orang ramai menjadi usahawan dan menjana pendapatan.
"Pada 2025, saya sasarkan 200,000 usahawan bersama dengan Choco Albab, menjadi agen dan meningkatkan Choco Albab sebagai jenama produk berasaskan coklat tempatan nombor satu,” katanya.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun ini, Choco Albab turut melancarkan produk baharu, iaitu Choco Albab Hazelnut Spread yang dijangka menjadi pilihan kegemaran ramai.
Pasaran coklat
Dengan kualiti premium dan rasa yang memikat, Choco Albab Hazelnut Spread membawa inovasi baharu dalam pasaran coklat tempatan.
Sebagai sebahagian daripada visi untuk membantu komuniti, Choco Albab terus membuka peluang kepada mereka yang ingin menjana pendapatan melalui program keagenan.
Dengan unjuran untuk melahirkan lebih ramai Crown Leader pada tahun 2025, Choco Albab bertekad untuk terus menyemarakkan semangat keusahawanan di Malaysia.
Dengan kejayaan yang dicapai dan perancangan yang menjanjikan masa depan yang cerah, Choco Albab kini berdiri sebagai jenama yang bukan sahaja memberikan kebahagiaan melalui produk berkualiti, tetapi juga melalui peluang keusahawanan yang mengubah kehidupan.