Jenazah bayi 'disimpan' beku: Peguam 'kotak pensel' tampil bantu ibu bapa tuntut keadilan, KKM bakal siasat

Iklan

SEBUAH hospital bersalin di Klang, Selangor menjadi perhatian ramai selepas didakwa menangkis segala dakwaan tular di media sosial mengatakan pihaknya terlibat dalam kes menyimpan mayat bayi, Allahyarham Muhammad Adham Mikail di dalam peti sejuk baru-baru ini.

Malah, pihaknya menjelaskan bahawa ibu bayi istimewa yang dilahirkan tidak pernah menjalani pemeriksaan sepanjang kehamilan.

Iklan
Iklan

"Pesakit ini yang mendakwa dalam kehamilan pertamanya datang ke hospital ketika dia sedang mengandung.

"Dia tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal sepanjang kehamilan. Dia mendakwa dia memantau kehamilannya hanya menggunakan perisian aplikasi telefon pintar," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Hospital swasta itu juga dalam kenyataan memaklumkan, ibu bayi berkenaan dibawa ke hospital oleh pasangannya yang sebelum itu didakwa sebagai suami sebelum memberitahu kononnya mereka belum berkahwin.

Memandangkan si ibu dalam keadaan terlalu sakit untuk melahirkan anak, dia terpaksa dibawa terus dari kereta ke bilik pemeriksaan dengan menggunakan kerusi roda bagi mendapatkan pemeriksaan segera.

Iklan

"Disebabkan itu, pihak hospital terpaksa menerima pesakit ini atas dasar kemanusiaan walaupun tanpa tempahan dan pemeriksaan saringan.

"Pesakit dihantar ke bilik bersalin dan melahirkan bayi tersebut hampir serta-merta. Bayinya mengalami sindrom siklop (cyclopia syndrome) dengan satu mata, tanpa hidung dan tanpa dubur. 'Suaminya' juga tidak menemani pesakit semasa proses bersalin.

"Doktor kemudiannya menjelaskan kepada 'suami' tentang keadaan bayi dan memintanya untuk melaungkan azan. Suntikan rutin diberikan kepada bayi dan dirancang untuk dirujuk (ke hospital lain), namun wajah bayi itu bertukar menjadi pucat kebiruan sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian," jelasnya.

Katanya lagi, permit pengebumian ditandatangani dan doktor memberitahu 'suami' untuk mengaturkan proses berkenaan pada keesokan harinya.

'Suami' tersebut kemudiannya meninggalkan hospital dengan alasan perlu pergi ke tempat lain.

"Pesakit dalam keadaan baik dan dibenarkan keluar hospital pada hari berikutnya dan dia memaklumkan tidak mampu untuk membayar keseluruhan bil sebanyak RM2,480.

"Dia kemudian diberitahu bahawa boleh mengatur pengebumian terlebih dahulu sebelum membayar bil. Kemudian dia mengatakan 'suaminya' akan mengaturkannya.

"Oleh itu, pihak hospital menunggu untuk dia mengambil bayi bagi tujuan dikebumikan. Selepas beberapa hari, hospital terus mengingatkan pesakit untuk meneruskan pengebumian tetapi dia mengatakan bahawa 'suami' sedang uruskan," katanya.

Pihak pusat perubatan itu juga turut memaklumkan bahawa pesakit dilayan dengan baik di hospital, menerima kaunseling dan diberikan makanan percuma.

Jelasnya lagi, 'suami' pesakit datang melawat hanya untuk beberapa minit setiap dua ke tiga hari.

Percubaan untuk berbincang dengan lelaki tersebut tentang pengebumian juga dikatakan gagal.

Pengurusan hospital kemudian berbincang dengan pesakit untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu menyelesaikan urusan pengebumian tetapi dia merayu agar tidak melibatkan pihak berkuasa sama sekali.

"Pesakit terus mengatakan bahawa semua keputusan akan dibuat oleh 'suaminya'.

"Hospital cuba mendapatkan maklumat tentang keluarga tetapi wanita terbabit enggan memberikannya kepada sesiapa. Pesakit juga mendakwa dia tinggal di rumah sewa bersama 'suami' dan tidak mempunyai saudara-mara atau rakan-rakan terdekat.

Difahamkan, pada masa sama berkata, pihaknya akan kekal komited terhadap ketelusan dan kepatuhan dalam semua urusan tersebut.

PENGURUSAN JENAZAH DAKWA HOSPITAL MANIPULASI CERITA

Sementara itu, Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai menepis dakwaan yang mengatakan bahawa ibu bapa bayi itu masih belum berkahwin kerana pihak pengurusan jenazah sudah lihat salinan sijil nikah pasangan tersebut.

Dakwanya, pihak hospital tersebut telah memanipulasi cerita untuk menutup salah laku mereka, dalam menahan dan membekukan jenazah bayi berkenaan.

"Seperti yang kami sudah jangka pihak di sana akan manipulasi kenyataan untuk tutup salah laku menahan baby Adham selama dua minggu,” katanya.

Wan Cai juga menepis dakwaan pasangan tersebut masih belum berkahwin kerana pihak pengurusan jenazah sudah melihat salinan sijil pernikahan mereka.

"Sijil nikah original kami dah lihat depan-depan. Salinan sijil nikah mereka pun kami ada. Plot twist doktor tak jadi,” katanya.

Malah pihaknya mendakwa rakan sekerja si bapa cuba membantu membuat bayaran berjumlah RM663 pada 9 Disember untuk mengeluarkan bayi berkenaan bagi tujuan pengebumian namun hal berkenaan tidak diendahkan.

"Staf yang bertugas 'menekan' minta bayar baki RM1817 baharu jenazah dilepaskan.

"Sekarang 'pusing' kata bapanya tidak mahu menguruskan jenazah. Sepatutnya mengaku salah dan betulkan keadaan," katanya yang turut menegaskan mempunyai 'saksi mata' dalam hal itu.

KKM SIASAT HOSPITAL

Kementerian Kesihatan (KKM) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan sebuah hospital swasta di Selangor yang menahan jenazah bayi selama dua minggu kerana kegagalan ibu bapanya menjelaskan bil hospital.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan itu dilakukan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).

"Saya secara jujur mahukan semua pihak bertenang dan mengizinkan untuk pihak berwajib yang menjalankan siasatan termasuk CKAPS pun turun sama (menyiasat).

"Saya menantikan dengan sabar untuk mendapatkan dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuk pihak kami, CKAPS yang telah turun mendekati beberapa pihak terbabit.

"Jadi, saya mahu semua dalam kalangan kita untuk bersikap penuh ihsan, belas kasihan dan menjaga empati kita," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat semalam.

Tambah Dr Dzulkefly, isu itu tidak mudah kerana ada pelbagai dakwaan.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak untuk bersabar dalam mendapatkan fakta yang sebenarnya, sebelum membuat apa-apa andaian.

"Saya juga ingin mengucapan takziah kepada keluarga bayi terbabit dan berharap semua pihak tidak menyebarkan cerita yang belum dipastikan kesahihannya," jelasnya.

PEGUAM 'KOTAK PENSEL' SETUJU BANTU

Dalam perkembangan terbaru, Wan Chai menerusi laman sosialnya memaklumkan, kes berkenaan telah mendapat perhatian peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Terkenal dengan jolokan peguam 'kotak pensel', Ahmad Zaharil dalam siaran live di TikTok berkata akan meneliti kes terbabit dengan pasukannya.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan pihak hospital adalah salah kerana mempunyai elemen jenayah.

"Apa hak menahan anak guam saya dan apa undang-undang yang dipakai.

"Kau (pihak hospital) pakai agreement? Agreement itu adalah bukti dia pernah datang tetapi apabila kau tahan dia, itu adalah satu bentuk elemen jenayah.

"Kenapa hospital buat tindakan sendiri dan tidak bawa ibu arwah ni ke balai? Ada je balai berdekatan dengan hospital. Faktanya di sini ialah pihak hospital tahan jenazah anak itu selama dua minggu.

"Sepatutnya tak perlu disimpan sebab anak itu sudah tiada (meninggal dunia)," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan akan mengulas lanjut dalam satu sidang media.

"Wan Chai telah menghubungi saya, ketika itu bapa bayi berkenaan ada bersamanya dan bersedia.

"Esok (hari ini) pukul 9 malam saya akan ke udara secara langsung membuat sidang media," katanya.

'TUAN BUDIMAN' SELESAIKAN BIL HOSPITAL DICARI

Dalam pada itu, Wan Chai juga meminta seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Tuan Budiman' yang membantu menyelesaikan baki bil hospital berkenaan tampil menceritakan hal sebenar.

Harap Tuan Budiman yang tolong bayarkan baki bil hospital untuk Baby Adham dapat munculkan diri.

"Dia mesti tahu kisah sebenar yang berlaku di dalam wad.

"Kalau tidak mana mungkin dia tergerak hati nak membantu," kongsinya.

SinarPlus baru-baru ini berkongsi kisah pilu penganiayaan yang berlaku kepada bayi istimewa itu yang meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan.

Gara-gara si bapa tidak mampu untuk membayar bil hospital berjumlah RM3,600, jasad si kecil yang dilahirkan dengan satu mata, tiada hidung dan tiada saluran lubang najis itu terpaksa dibekukan oleh sebuah hospital swasta selama selama 16 hari minggu manakala ibunya ditahan di wad hospital berkenaan.

Sumber: TikTok, Instagram