HEBAT! Biarpun sejak berusia 14 tahun berada di sebalik tirai besi, beliau tidak putus asa untuk memajukan diri dalam akademik sehingga berjaya ke peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Beliau merupakan banduan pertama yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) semasa di dalam penjara, diberi pengampunan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan pada 11 Disember lalu.
Banduan lelaki yang dinamakan sebagai Murad (bukan nama sebenar) memiliki PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan difahamkan telah menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.
Artikel berkaitan:
Tahajud, solat hajat & berdoa.' 4 pesalah juvana Sekolah Integriti, Henry Gurney cipta sejarah, cemerlang SPM 8A di sebalik tirai besi
Masuk umur 23, keluar 63 tahun, banduan seumur hidup paling lama sujud syukur dibebaskan jadi perhatian warganet
Tular drama ‘Rindu Kasih,’ rupa-rupanya banduan boleh jaga anak dalam penjara sampai usia 3 tahun
Waran pembebasan dibacakan Pengarah Penjara Kajang, Preshahdin Monshee dan semasa sesi pembebasan itu, Preshahdin turut menasihatkan Murad untuk sentiasa mengamalkan disiplin serta menggunakan ilmu yang ada dalam memajukan diri.
Malah pihak jabatan sedia membantu sekiranya lelaki berkenaan memerlukan bantuan.
Sementara itu, Murad pada sesi berkenaan turut menzahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor di atas pengampunan baginda dan Jabatan Penjara kerana memberikan peluang serta ruang kepadanya untuk menyambung pengajian sehinggalah bergelar Doktor Falsafah.
Malah beliau juga akan mengenang segala jasa baik pihak jabatan dan percaya dengan peranan jabatan dalam memulihkan prospek sepertinya, agar dikembalikan dengan lebih sempurna.