PENYANYI era 1980-an, Suliza Salam, 59, kembali bergelar isteri.
Ibu kepada penyanyi Ismail Izzani itu sah menjadi suri hati ahli perniagaan, Ismail A Ahmad dalam ijab kabul yang diadakan di kediamannya di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Majlis pernikahan pasangan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri saudara-mara dan rakan terdekat kedua-dua mempelai.
"Kami sudah lama berkenalan dan dia adalah rakan perniagaan saya. Dia kenal anak-anak dan cucu serta saya juga kenal anak-anaknya.
"Keputusan berkahwin hanya dibuat selepas mendapat restu anak-anak dan saudara mara kedua-dua pihak.
"Kata mereka benda baik tidak perlu nak tangguh. Lagipun, tak manis kalau orang lihat kami ke sana sini tanpa ikatan sah. Justeru, dengan restu diberi, kami mengambil keputusan menghalalkan hubungan ini," katanya.
Sekadar info, Suliza terdahulu berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pada 11 Januari 1991 dan telah berpisah.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Nurizzati, Nur Falahi dan Ismail Izzani.
Sumber: Berita Harian