'Bagi mereka 'menumpang' lalu di dunia normal beberapa minit...' Edry minta ruang untuk anak autisme, jangan marah, maki orang OKU

Iklan

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Memiliki seorang anak yang disahkan autisme, penerbit dan komposer, Edry Abdul Halim, 48, berharap orang ramai lebih peka dan memahami situasi dilalui individu dalam kategori orang kelainan upaya (OKU) termasuk memberi layanan baik kepada golongan istimewa itu.

Adik kepada Datuk Norman dan Yusry itu menzahirkan rasa terkilan selepas permata hati ketiganya, Emery, 17, diberi layanan yang tidak sepatutnya ketika beliau dan isteri, Milia menikmati makan malam di restoran di ibu negara.

Iklan
Iklan

Penerbit muzik dan komposer itu meluahkannya menerusi laman sosial Instagram agar golongan istimewa seeperti Emery diberi peluang menikmati kehidupan normal walaupun ada kala mereka bertindak di luar kawalan tanpa mengetahui apa dilakukan sebenarnya salah.

Iklan

"Apa yang saya ingin tekankan, kadang-kadang tindakan anak istimewa ini tidak boleh dijangka dan dia buat apa sahaja. Dia ada masa impulsif, kalau hendak minum dia ambil sahaja daripada rak dan tak faham konsep kena bayar dan buat pesanan.

Artikel berkaitan:

"Daripada dua malam yang kami keluar makan, ada berlaku situasi memberi trauma daripada layanan orang persekitaran. Sama ada itu adalah orang kedai atau pelanggan, kadang-kadang mereka tak faham anak istimewa ini lain daripada lain.

Iklan

"Jadi, mereka tinggikan suara, marah dan maki. Masyarakat kita tak peka dengan orang-orang yang mempunyai kekurangan dari segi keupayaan mental," katanya.

Pemain synthesizer Kumpulan Mojo itu juga menegaskan masyarakat perlu membantu golongan istimewa merasai kehidupan normal dengan memberikan layanan yang baik biarpun mereka mempunyai kekurangan dari segi keupayaan.

"Sepanjang hidup, mereka perlu lalui hidup yang sebegitu, tapi mereka juga adalah manusia biasa yang mahu menjalani kehidupan normal.

"Kami tidak mengeluh dan harap kalian juga sama. Jika ada antara kalian berjumpa dengan orang yang nampak lain dan ada penjaga atau ibu bapa bersamanya, kalian akan selamat dengan bimbingan mereka.

"Bagi mereka ruang untuk 'menumpang lalu' kehidupan normal kalian untuk beberapa minit dan mereka akan pergi daripada kehidupan anda selamanya," katanya.

Kata Edry, melayani dengan kasar dan memaki hamun adalah perbuatan tidak wajar kerana anak-anak istimewa ini hanya menumpang seketika.

Mereka juga mempunyai penjaga dan ibu bapa yang dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang perkara daripada tindakan golongan istimewa itu.

"Biar kami yang uruskan, tapi jangan jadikan keadaan lebih teruk dengan melayani mereka secara agresif, marah atau maki. Tiada apa pun yang mereka buat, kalau ada sekali pun keluarga anak istimewa ada untuk bayar atau ambil tanggungjawab.

"Tolonglah, peka dengan kekurangan dihadapi golongan istimewa ini kerana bukan semua kekurangan boleh dilihat. Saya tidak mampu mengubah dunia, tapi kalau ada satu atau dua orang yang mengikuti saya dapat faham.

"Kalau ada berhadapan dengan seseorang berbeza, jangan layan mereka berbeza. Cuba sesuaikan diri dengan dunia mereka sekejap sahaja.

"Mereka hanya berada di dunia anda sekejap sahaja. Saya yakin dunia akan jadi tempat lebih baik kalau kita saling bertolak ansur," katanya.

Edry mendirikan rumah tangga bersama Milia pada November 1999 dan dikurniakan empat orang cahaya mata, Emil, 24, Edylia, 21; Emery, 17, dan Elya, 14.

Beliau terdahulu berhijrah ke Manchester, United Kingdom pada tahun 2018 bagi mendapatkan pembelajaran terbaik untuk anak ketiganya iaitu Emery yang merupakan anak autisme.

Keputusan untuk berhijrah ke sana dibuat Edry sekeluarga memandangkan Malaysia tiada sekolah khas bagi autism. Setelah beberapa tahun mendapat pembelajaran di UK, Emery memasuki persekolahan menengah khas dan mampu menyesuaikan diri.