Tradisi bertemu moden, Ezuwan Ismail hidupkan legenda Walinong Sari dalam fesyen sehingga ke pentas dunia

Iklan

DALAM dunia fesyen yang penuh warna, kreativiti adalah kunci bagi menonjolkan personaliti dan karakter seseorang.

Sebut sahaja nama Ezuwan Ismail, pasti ramai yang mengenali susuk tubuh itu, lebih-lebih lagi penggemar fesyen tanah air.

Iklan
Iklan

Pada usia 42 tahun, beliau bukan sekadar mencipta busana, tetapi juga menyulam cerita dalam setiap helaian pakaian yang dihasilkan.

Justeru, tidak hairanlah andai khidmatnya ditagih bukan sahaja oleh selebriti, bahkan golongan kenamaan.

Iklan

Terbaharu, namanya sekali lagi menuai perhatian apabila menghasilkan busana indah khas buat Miss Universe Malaysia 2024, Sandra Lim yang mewakili negara untuk pertandingan Miss Universe ke-73 baru-baru ini.

Menariknya, sentuhan itu diterjemahkan dengan penuh keindahan yang menyatukan elemen tradisi dan moden dalam satu rekaan yang memikat.

Iklan

Tiga persalinan yang disiapkan dalam tempoh tidak sampai sebulan itu terdiri daripada kostum kebangsaan, gaun malam dan gaun rahsia.

Dedah beliau lagi, kos untuk menyiapkan busana tersebut dikatakan mencecah lebih RM150,000.

"Ini pertama kali saya buat baju untuk ratu cantik. Memang sangat berbeza dengan rekaan sebelum ini khusus buat selebriti. Namun saya ambil ia sebagai satu cabaran dan platform untuk menambahkan satu lagi pncapaian sebagai pereka fesyen.

"Pun demikian, ia bukan hasil saya sendirian, sebaliknya kami duduk bersama (Sandra) dan Organisasi Miss Universe Malaysia (MUMO) sambil berbincang serta memilih konsep yang sesuai,” kata Ezuwan ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini.

Berkongsi lanjut akan peluang yang diakui cukup besar itu, bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui berbanding selebriti yang sering tampil dengan rekaan berani dan penuh glamor, busana untuk seorang ratu cantik sentuhan beliau itu lebih terarah kepada konsep dan visi yang mendalam.

Justeru, beliau enggan menumpukan kepada kecantikan luaran semata-mata, sebaliknya memilih untuk menonjolkan elemen-elemen kekuatan, karisma, dan nilai yang ingin disampaikan.

Pahlawan wanita

Sementelah Sandra sendiri yang memiliki kebolehan bermain pedang, turut memberi input tentang rekaan berkenaan.

"Kebetulan, Sandra meminta saya untuk menghasilkan busana yang mampu mencerminkan ciri pahlawan wanita. Inspirasi utama rekaan ini datang daripada tokoh legenda Malaysia, Walinong Sari, seorang pahlawan wanita yang terkenal dengan keberanian dan kecantikan.

"Pada masa sama, beliau mahu saya mencipta sesuatu yang sesuai untuk dia bermain pedang.

"Selain membawa karakter pahlawan yang gagah, saya tetap menyelitkan keanggunan seorang wanita dan sesuai dengan peribadi Sandra yang baharu berusia 23 tahun,” ungkap beliau yang turut popular dalam menghasilkan busana untuk Biduanita Datuk Sri Siti Nurhaliza, Melly Geoslaw, Aina Abdul, Ziana Zain dan beberapa selebriti lain.

Mengulas lanjut mengenai kostum tersebut, beliau yang terkenal dengan jolokan Tukang Jahit Termahir Malaysia menghasilkan rekaan yang nampak lebih kontemporari dan komersial.

Bahkan, dalam perkongsian beliau sebelum ini, Ezuwan memberitahu, busana kebangsaan yang digayakan Sandra itu seberat tujuh kilogram.

Selain menterjemahkan kecantikan warisan Malaysia melalui penggunaan fabrik songket, busana tersebut turut dihiasi dengan sulaman kerawang tebuk yang sangat teliti.

Busana tersebut juga tampak mewah dengan taburan batuan swarovski yang ditampal satu persatu bagi menjaga fabrik.

Sesuai dengan signatur Ezuwan yang sememangnya suka bermain dengan manik dan sulaman indah.