LANGIT biru yang cerah menyambut kedatangan penulis ketika pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Labuan.
Perjalanan menaiki kapal terbang yang mengambil masa 2 jam 30 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Labuan seakan-akan tidak terasa.
Suasana tenang dan udara yang segar membangkitkan rasa damai seolah-olah mengajak penulis melupakan sementara hiruk-pikuk kehidupan di bandar.
Wilayah Persekutuan Labuan yang telah digazetkan sebagai Geopark pada Disember 2021 oleh Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia sememangnya mempunyai banyak potensi pelancongan yang belum diterokai.
Melalui pandangan pertama, pulau tersebut terkenal dengan keindahan alam, mempunyai budaya setempat yang unik dan sejarah yang tersendiri.
Permata tersembunyi
SinarPlus baru-baru ini menerima undangan mengikuti liputan khas media selama tiga hari ke Labuan anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan, sekali gus berpeluang meneroka permata tersembunyi di sana.
Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman adalah antara tarikan pelancongan yang dikunjungi.
Ia merupakan sebahagian daripada Taman Laut Labuan yang memulihara terumbu karang perairan cetek dan kepelbagaian hidupan laut.
Berikut antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sekitar pulau tersebut:
1) Pulau Rusukan Besar Pulau Rusukan Besar mempunyai pantai yang bersih.
Dikenali dengan nama Pulau Mayat berasaskan cerita legenda sumpahan sepasang kekasih.
Sesiapa yang datang ke Pulau Rusukan Besar boleh melengkapkan satu pusingan pulau dalam jarah 2.8 kilometer dengan hanya berjalan kaki.
Sepanjang perjalanan, pengunjung juga boleh melihat kepelbagaian habitat persisir pantai, perbukitan serta habitat bakau.
Selain itu, lokasi tersebut turut mempunyai Mini Galeri Jabatan Perikanan Malaysia dan Pusat Konservasi Penyu yang mana pelancong berpeluang melihat usaha pemeliharaan spesies penyu Karah dan Agar dengan lebih dekat.
Jika berkesempatan, pengunjung dapat menyaksikan sendiri pendaratan penyu pada waktu malam dan aktiviti melepaskan anak haiwan tersebut ke laut.
Aktiviti perkhemahan, Jungle Trekking dan pelayaran pulau (Island Hoping) adalah aktiviti popular untuk sesiapa yang mahu merasai keindahan alam dan marin di sekitar Labuan.
2) Pulau Rusukan Kecil Pulau Rusukan Kecil yang mempunyai pantai berpasir yang indah dan air yang jernih sesuai untuk berkelah atau mandi-manda bersama keluarga.
Bukan itu sahaja, pelancong juga berpeluang untuk snorkeling, menyelam atau berkayak.
3) Pulau Kuraman Pulau Kuraman yang merupakan pulau utama dalam gugusan Taman Laut Labuan pula terkenal dengan dengan beting pasir yang panjang dan cantik.
Warnanya yang memutih dan muncul ketika air surut seolah-olah membelah lautan yang terbentang luas.
Dahulunya, pulau ini popular dengan aktiviti snorkeling dan menyelam bagi melihat kecantikan terumbu karang, hidupan marin dan kapal karam.
Kuraman juga dilengkapi dengan jeti dan kemudahan perkelahan bagi memudahkan pelancong datang.
Pantai berpasir putih yang luas sesuai untuk berjemur, berenang atau bersantai sambil menikmati pemandangan laut.
4) Kinabenuwa
Lokasi ini ialah satu-satunya kawasan perlindungan habitat bakau di Labuan Geopark.
Ia mempunyai laut yang tenang kerana terlindung daripada ombak dari Teluk Kinabenuwa.
Pelancong berpeluang melihat sendiri habitat spesies flora terancam dan tempat pembiakan hidupan marin yang menjadi sumber makanan laut bagi komuniti setempat.
Hasil laut segar
Sementara itu, pengunjung yang berkunjung ke Labuan tidak boleh melepaskan peluang untuk menikmati makanan lautnya sangat segar, manis dan penuh rasa asli.
Udang kara, ketam dan ikan kerapu yang baru sahaja ditangkap terasa begitu sempurna di atas pinggan.
Antara hidangan unik yang menambat selera penulis termasuk yam basket, udang stim bersama bawang putih dan ketam bercili.
Dalam pada itu, kepulauan itu juga terkenal dengan tempat pemprosesan ikan bilis segar terus dari laut sekali gus menjadikan hasilnya berkualiti tinggi, bersih dan penuh rasa asli.
Pelancong boleh menyaksikan proses pengeringan tradisional dan berpeluang untuk membeli dan membawa pulang hasil laut terbaik dari Salinang Maju Enterprise di Kampung Bebuloh.
Sementara itu, mereka yang mahu mendapatkan secara terus hasil laut segar juga boleh mengunjungi Gerai Ikan Segar Bubu Emas di Lubok Temiang yang dibuka bermula pukul 2 petang.
Sebelum meninggalkan bumi Labuan, pengunjung boleh membeli belah di One Stop Duty Free di bandar Labuan.
Coklat, biskut dan minyak wangi antara barangan bebas cukai yang harus dibeli sebagai cenderahati.
Makanan sejuk beku pula boleh di dapati di Fresh Frozen Seafood yang terletak dalam Lapangan Terbang Labuan.
Buat mereka yang belum pernah tiba ke Labuan, anda boleh mempertimbangkan destinasi berkenaan dalam senarai pelancongan pilihan.