PEMINAT setia penghibur nombor satu negara, Allahyarham Sudirman Haji Arshad pastinya tidak sabar menantikan naskhah terbaharu yang menampilkan Teater Muzikal Sudirmania.
Pementasan terbaharu Sudirmania itu bakal menemui penonton Pementasan Teater Muzikal Sudirmania pada 27 Disember berlangsung pada jam 8.30 malam, manakala pada 28 dan 29 Disember berlangsung dua sesi iaitu pada jam 3 petang dan 8.30 malam.
Menariknya, ia merupakan kolaboratif Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Pertubuhan Pameran Seni Teater (Pepster), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor (JKKN Selangor), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kerajaan Negeri Selangor, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Sudirman Asset Management dan Revolution Stage.
Timbalan Pengarah JKKN Selangor, Norziatul Shuhadah Md Idris baru-baru ini berkata, siri karya agung itu merupakan salah sebuah program yang diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor dan akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Pameran Seni Teater (PEPSTER).
"Ia bertujuan mengetengahkan karya seni dan sastera negara serta mempergiatkan persembahan teater warisan dalam kalangan remaja, belia dan masyarakat di Malaysia secara keseluruhannya.
"Jabatan ini mengharapkan penganjuran pementasan ini dapat membantu dalam menyemarakkan seni budaya dalam bidang teater dan muzik, terutama usaha untuk mengangkat lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad melalui olahan teater muzikal yang digarap supaya ia terus malar segar.
"Selain daripada itu, Siri Karya Agung ini akan menjadi salah satu platform kepada badan bukan kerajaan (NGO) seni budaya untuk berkarya dengan lebih kreatif dan sudut pandang yang berbeza," katanya.
Semangat hidup
Teater Muzikal Sudirmania, karya dan arahan Khairunazwan Rodzy akan dibintangi oleh Fimie Don, Amirul Affendi, Putri Khareeza, Khayrisya Kemal, Kirin Muhd dan ramai lagi.
"Ini bukan kisah Sudirman, tetapi ini kisah kita dalam jiwa lagu-lagu Sudirman. Kali ini ada perubahan istimewa dan penambahan baharu dari pementasan yang pernah diadakan sebelum ini.
"Jadi siapa yang pernah menonton, pasti tidak rugi menonton persembahan teater muzikal Sudirmania yang terbaru ini oleh kerana pembaharuan dan penambahan yang telah dilakukan," katanya.
Teater Muzikal Sudirmania adalah satu projek pementasan teater tribute kepada satu-satunya penghibur nombor satu negara, Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad.
Sudirmania ini adalah penterjemahan dari lagu-lagu nyanyian Allahyarham Dato' Sudirman menjadi naskhah pementasan yang telah digarap kemas menjadi jalan kisah di zaman kegemilangannya.
Lagu-lagu yang dipilih akan diolah menjadi sebuah cerita yang bertemakan kehidupan remaja, dewasa dalam gelombang percintaan. Sudirmania adalah gabungan empat (4) kisah yang menjadi satu kronologi cerita yang mengisahkan tentang masyarakat yang meminati Sudirman sehingga menjadikan lagu-lagunya sebagai semangat hidup.
Di sebuah kampung, Ramlan, Tapa, Husin, Ani, Nina berbincang untuk ke konsert Sudirman di Jalan Chow Kit pada pertengahan 1980-an. Ia adalah konsert percuma Sudirman untuk rakyat Malaysia. Penduduk Chow Kit juga turut bergembira kecuali Din, Mael dan Basir iaitu mat ganja di Jalan Chow Kit.
Mereka ada perancangan jahat untuk dijalankan semasa konsert itu berlangsung. Dalam masa yang sama Yusof bapa kepada Ramlan tidak membenarkan Ramlan pergi ke Kuala Lumpur kerana Yusof ingin pergi ke konsert tesebut untuk bertemu bekas isterinya Laila.
Namun Ramlan pergi juga kerana sudah berjanji untuk bertemu kekasihnya Zeti yang dipaksa bertunang dengan Osman, anak orang kaya.
Banyak rintangan yang mereka lalui untuk pergi ke konsert itu. Ada rompakan, ada kes rogol, ada juga pergaduhan yang menyebabkan kematian. Semuanya berlaku dalam sebuah persembahan Konsert Gergasi Chow Kit Road.