"SELEPAS kereta terbalik, isteri saya masih hidup namun keadaannya parah. Saya ajar mengucap dua kalimah syahadah, tidak lama kemudian dia senyap dan disahkan meninggal dunia."
Demikian tutur Mohammad Syuqur Ahmad, 24, yang terpaksa menghadapi kehilangan dua nyawa insan yang disayangi sekelip mata dalam kemalangan tragis di Kilometer 212.3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah Selatan, berhampiran susur keluar Sitiawan Utara.
Dalam tragedi itu, Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24, dan anak bongsu, Muhammad Iman Irfan, setahun tiga bulan pergi selama-lamanya, Mohammad Syuqur yang juga pemandu lori memberitahu, Nor Fadhilah memohon kemaafan berulang kali dalam keadaan kesakitan akibat kecederaan parah.
"Dia minta maaf kepada saya, saya beritahu tak mengapa, perkara lepas jangan difikirkan dan cuba tenangkan dia," katanya sebak.
Kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, anak sulungnya, Muhammad Alif Sufi yang berusia tiga tahun cedera.
Segalanya berlaku dengan pantas, mereka menaiki Perodua Kelisa dalam perjalanan dari rumah di Gelung Pepuyu, Bota ke arah tempat kerja di Kampung Acheh, Sitiawan bagaimana kemalangan apabila cuba mengelak binatang melintas sebelum kereta berkenaan terbalik.
"Saya tak sedarkan diri semasa kereta kami terbalik di tengah-tengah jalan. Masa saya buka mata, saya nampak anak bongsu tercampak keluar dari kereta.
"Saya, isteri dan anak sulung dikeluarkan dengan bantuan orang awam," katanya.
KIRIM SALAM, MOHON MAAF KEPADA IBU & IBU MENTUA
Mohammad Syuqur berkata, mereka sekeluarga baru pulang menziarahi keluarga isterinya di Felda Lui Selatan, Negeri Sembilan.
Ketika di kampung, Nor Fadhilah menurut Mohammad Syuqur banyak ketawa dan gembira meluangkan masa dengan sanak-saudara.
"Dalam kereta, dia minta saya tolong sampaikan salam dan permohonan maaf kepada ibu saya dan ibunya.
"Saya hairan dan tanya kenapa cakap begitu tapi dia hanya balas 'tak tahulah, memang nak jadi kot'," katanya.
Beliau berkata, Muhammad Alif Sufi yang cedera dan masih trauma, sudah diberitahu mengenai kematian ibu dan adiknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati Perodua Kelisa dipandu Mohammad Syuqur dipercayai gagal dikawal lalu terbabas sendiri.
Katanya, kereta itu merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah-tengah jalan, mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki tercampak keluar dari kereta.
Jenazah Nor Fadhilah dan Muhammad Iman Irfan akan dikebumikan di kampung isterinya di Tanah Perkuburan Islam Felda Lui Selatan, Negeri Sembilan.
Takziah buat keluarga Allahyarham Nor Fadhilah, semoga roh arwah dicucuri rahmat. Al-Fatihah.
Sumber: Sinar Harian