SEJARAH tercipta di Terengganu apabila seorang lelaki berusia 42 tahun menjadi individu pertama dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai atas kesalahan berkhalwat berulang kali.
Lelaki yang dikenali sebagai Mohd Affendi Awang selesai menjalani hukuman sebat di hadapan Timbalan Pengarah Penjara Marang, Mohd Irwan Awang dekat Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, selepas solat Jumaat hari ini.
Duda anak lima itu mengenakan pakaian lokap berwarna oren kemerahan dengan pelitup muka kelihatan reda sewaktu menerima hukuman yang mengambil masa kira-kira dua minit.
Seramai 90 individu termasuk pengamal media dibenarkan memasuki dewan masjid untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman itu.
Sebelum hukuman dijalankan, tertuduh telah menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pasukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) untuk memastikan beliau berada dalam keadaan baik.
Hukuman sebatan ini dijatuhkan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, selepas tertuduh mengaku bersalah di bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Selain sebatan, tukang rumah itu turut dikenakan hukuman denda RM4,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga.
Khalwat, atau berdua-duaan antara lelaki dan wanita bukan mahram di tempat tersembunyi, dianggap sebagai perbuatan yang melanggar norma agama dan masyarakat.
Pelaksanaan sebatan di khalayak ramai itu dilihat bukan sahaja bertujuan menghukum, tetapi juga mendidik masyarakat tentang betapa seriusnya kesalahan berkhalwat
Bagaimanapun, masyarakat juga diingatkan untuk tidak terus menghukum pesalah di luar proses undang-undang.
Sebaliknya, memberikan sokongan dan peluang kepadanya untuk bertaubat dan memperbaiki diri, agar mereka dapat kembali menjadi anggota masyarakat yang lebih baik.