BILA sebut tentang mandul, sudah menjadi kebiasaan wanita sahaja dipersalahkan, namun pada hakikatnya masalah ini boleh berlaku kepada lelaki.
Malah, ketidaksuburan lelaki menyumbang kepada kira-kira 50 peratus kes di seluruh dunia.
Di Malaysia, kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) meletakkan ketidaksuburan lelaki di tahap membimbangkan apabila mereka mendapati bahawa 60 peratus keputusan ujian sperma adalah tidak normal.
Oleh itu, penting untuk kita menangani ketidaksuburan lelaki dan meneroka kemajuan dalam pilihan rawatan yang menawarkan harapan kepada pasangan yang bergelut untuk memiliki cahaya mata.
Menurut Pakar Reproduktif di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Chua Ai Chen, kemandulan lelaki disebabkan oleh dua faktor, iaitu masalah pengeluaran sperma atau sumbatan yang menghalang sperma daripada sampai ke ovum.
"Isu yang paling biasa saya lihat ialah bilangan sperma yang rendah disebabkan varikokel atau pembesaran urat dalam skrotum.
"Varikokel menjejaskan kira-kira 40 peratus lelaki yang mengalami masalah kesuburan lalu menyebabkan pengeluaran sperma berkurangan,” kata beliau.
Penyebab lain termasuklah ketidakseimbangan hormon, masalah genetik, dan pendedahan kepada persekitaran yang berbahaya seperti pencemaran, bahan kimia dan radiasi.
Gaya hidup juga memainkan peranan yang besar. Merokok, pengambilan alkohol, obesiti dan tekanan boleh menjejaskan kualiti sperma. Faktor seperti diet yang kurang baik, kurang bersenam dan corak tidur yang terganggu boleh menjejaskan kesuburan.
Susah dapat anak, wanita sahaja dipersalahkan! Kualiti sperma boleh jadi penentu kesuburan
Iklan