BARU-baru ini, seorang ayah berkongsi rasa sedih mengenangkan nasib anak sulungnya yang sedang menempuh ujian berat
Pada 22 Disember tahun lalu, ketika kebanyakan orang sibuk merancang masa berkualiti bersama keluarga, anak lelaki berusia 10 tahun ini memulakan episod mencabar dalam hidup apabila disahkan menghidap diabetes mellitus jenis 1.
"Seminggu sudah berlalu, bermulanya satu perjalanan yang sangat panjang bagi anak sulung aku pada 22 Disember 2024,”tulisnya.
Menurut hantaran di Facebook, Mohd Zulkimi Roslly menjelaskan bahawa penyakit kencing manis yang dihidapi oleh anaknya berbeza daripada kencing manis jenis 2 yang lazimnya dialami oleh orang dewasa.
Mohd Zulkimi menjelaskan bahawa sehingga kini, tiada ubat oral yang boleh diberikan kepada anaknya selain suntikan insulin untuk mengawal tahap gula dalam darah.
"Anak menghidap diabetes mellitus jenis 1.
"Sejenis penyakit kencing manis yang berbeza dari penyakit kencing manis jenis 2 yang sering dihidapi oleh orang dewasa. Tiada ubat makan, hanya suntikan insulin sahaja untuk mengawal gula,”ujarnya.
Berat mata memandang, namun lebih berat lagi bahu yang memikul apabila anaknya juga terpaksa menjalani kehidupan dan menghabiskan masa kecilnya dengan pantang larang yang membebankan.
Antara pantang larang yang perlu dipatuhi:
* Wajib makan pada waktu yang telah ditetapkan.
* Hanya dibenarkan makan tiga kali sehari.
* Menikmati snek berasaskan protein berkhasiat sahaja.
* Suntikan insulin perlu diberikan sebanyak empat kali sehari tanpa gagal.
* Menghitung jumlah karbohidrat dalam setiap hidangan dengan teliti.
* Tahap gula dalam darah perlu diperiksa sehingga lapan kali sehari.
Sebagai seorang bapa, Mohd Zulkimi hanya mampu berdoa dan berusaha memberikan yang terbaik bagi menyokong anaknya, lebih-lebih lagi apabila anaknya itu bergantung kepada ubat buat selama-lamanya.
"Kita yang dewasa juga merasakan satu proses yang amat sukar. Inilah yang terpaksa dilalui oleh anak aku buat selama-lamanya,”titipnya.