KEMATIAN tragis gadis, Yap Xin Yuan selepas 21 hari hilang menggemparkan negara.
Lebih memilukan, mayatnya yang ditemukan di dalam sungai itu berada dalam keadaan reput hingga tidak dikenal pasti melalui pengecaman fizikal.
Dalam perkembangan terkini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih menunggu laporan dan keputusan toksikologi sebelum motif pembunuhan dapat diperkukuhkan.
"Polis masih tunggu keputusan toksikologi sama ada si mati (mangsa) ada menggunakan sebarang bahan dadah.
"Selagi tidak dapat keputusan itu (toksikologi dan bedah siasat), tidak boleh kata mengambil dadah atau overdose," katanya pada sidang akhbar.
Difahamkan, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek termasuk teman lelaki mangsa adalah negatif dadah.
Namun, kata beliau, dipercayai teman lelaki mangsa terlibat membuang mayat kekasihnya dan kemungkinan sama ada orang lain yang membantu atau tidak, ia masih dalam siasatan.
Hussein berkata bahawa tiga suspek direman sehingga 5 Januari dan kes itu kini diklasifikasikan sebagai pembunuhan.
'SAYA MENEMANI PERJALANAN TERAKHIRNYA' - BAPA
Sementara itu, jasad mendiang Yap Xin Yuan telah dituntut bapanya, Yap Eng You pada 8 pagi, Jumaat.
Tiba bersendirian di rumah mayat Hospital Banting, Selangor, lelaki berkenaan mengakui pilu kehilangan anak sulungnya.
"Saya di sini hari ini untuk membawa anak perempuan saya pulang dan menemaninya dalam perjalanan terakhirnya," katanya.
Difahamkan, jasad mendiang terus dibawa ke krematorium untuk upacara terakhirnya.
Bapa kepada tiga anak perempuan itu menzahirkan dukacita yang mendalam, beliau sukar untuk menerima pemergian anak perempuannya, terutama selepas melihat jenazahnya yang tidak sempurna hingga tidak dapat dikenal pasti wajahnya ketika proses menuntut mayat itu.
"Sekarang anak perempuan saya meninggal dunia, keluarga hanya boleh menerima realiti pahit ini," katanya.
Mendiang Yap Xin Yuan terdahulu hilang selepas latihan tarian singa di kawasan gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras pada 10.30 malam, 19 Disember 2024.
Pencarian berakhir berita duka apabila mayat reput yang ditemukan di dalam Sungai Changgang, Banting pada 31 Disember disahkan milik Xin Yuan.
Sumber: Sinar Harian, The Star