TRAUMA COVID-19 pun belum habis, timbul pula mengenai penyakit Human Metapneumovirus (hMPV). Virus baharu kah?
Katanya ia sedang tular di China dan berita itu membuatkan ramai mulai bimbang dengan situasi tersebut.
Berikutan itu, Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan virus hMPV bukan satu penyakit baharu, walaupun berlaku lonjakan penularan di China ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM mengesan 327 sampel positif hMPV sepanjang 2024 berbanding 225 pada 2023.
Jelas beliau, virus tersebut merupakan salah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae.
"Di Malaysia, jangkitan hMPV juga tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, memetik informasi yang terdapat di laman sesawang Majlis keselamatan Negara (MKN), penyebaran virus HMPV yang telah dikenal pasti sejak tahun 2001 ini berlaku melalui kontak langsung dengan individu yang terjangkit atau melalui permukaan yang tercemar.
Cara penyebaran termasuk batuk, bersin, berjabat tangan, dan menyentuh objek seperti telefon atau pemegang pintu.
Gejala jangkitan HMPV boleh berbeza dari ringan hingga teruk. Gejala ringan termasuk batuk kering, selesema, dan sakit tekak. Gejala yang lebih serius meliputi sesak nafas, keletihan, dan wheezing. Dalam kes yang lebih teruk, HMPV boleh menyebabkan komplikasi seperti bronkiolitis dan pneumonia.
Virus ini memberi risiko yang tinggi kepada kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, orang dewasa berumur lebih dari 65 tahun dan mereka dengan sistem imun yang lemah berisiko tinggi untuk mengalami penyakit yang lebih serius akibat jangkitan ini.
Oleh itu, langkah-langkah pencegahan seharusnya dinitikberatkan, termasuklah:
- Cuci tangan dengan sabun dan air secara berkala.
- Tutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin.
- Membersihkan permukaan yang sering disentuh.
- Mengelakkan kontak rapat dengan individu yang sakit.
Fokuskan pada menjaga kesihatan diri dan keluarga. Sekiranya mengalami gejala pernafasan, dapatkan rawatan awal, terutamanya bagi kanak-kanak kecil dan warga emas.
Pengetahuan tentang HMPV dan langkah-langkah pencegahan adalah penting untuk mengurangkan penularan virus ini dalam masyarakat.