Anak ada ulser, naik cecair lepuh terus kuarantin! Boleh jadi punca HFMD

Iklan

BARU-baru ini berlaku peningkatan terhadap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Di Malaysia, ia menjadi kebimbangan orang awam kerana penyakit endemik itu boleh mengakibatkan wabak besar dan kematian dalam kalangan kanak-kanak dan bayi.

BARU-baru ini berlaku peningkatan terhadap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Di Malaysia, ia menjadi kebimbangan orang awam kerana penyakit endemik itu boleh mengakibatkan wabak besar dan kematian dalam kalangan kanak-kanak dan bayi.

Iklan
Iklan

Sehingga 18 Jun 2022, kira-kira 106,477 kes-kes HFMD telah direkodkan. 89 peratus daripada kes-kes yang direkodkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah manakala sembilan peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

Kebanyakan wabak tersebut sering berlaku di tempat asuhan dan prasekolah iaitu sebanyak 56 peratus, seterusnya rumah iaitu 40 peratus dan pusat penjagaan harian sebanyak tiga peratus.

Iklan

Bagi yang pertama kali mendengar penyakit ini, Pakar Pediatrik & Neonatologi di Hospital KPJ Tawakal, Dr Syed Abdul Khaliq Syed Abd Hamid memberi maksud HFMD adalah penyakit disebabkan oleh beberapa jenis enterovirus. Virus yang paling biasa menyebabkan HFMD adalah Coxsackievirus, terutamanya Coxsackievirus A16.

Iklan

Virus kedua yang sering dikaitkan dengan HFMD ialah Enterovirus 71 (EV71). Malah, terdapat juga jenis virus lain menjadi penyebab penyakit ini.

HFMD biasanya menyerang kanak-kanak yang berumur enam tahun ke bawah. Bagi kanak-kanak yang berumur atas dari umur tersebut, risiko komplikasi adalah rendah.

Pun demikian, itu tidak bermakna hanya kanak-kanak atau bayi sahaja yang mengalami penyakit tersebut, orang dewasa juga terdedah. Cuma, gejala yang dialami lazimnya lebih ringan.

Kontak rapat

Kebanyakan golongan dewasa mendapat penyakit berkenaan jika mempunyai kontak rapat dengan anak kecil seperti pekerja pusat jagaan kanak-kanak, rumah pengasuh, tadika, guru sekolah dan sebagainya.

Virus ini mudah merebak dari seorang individu kepada individu lain. Seseorang itu boleh dijangkiti HFMD melalui:

  • Air liur
  • Cecair daripada lepuh (blister)
  • Najis
  • Titisan pernafasan yang tersebar ke udara apabila seseorang batuk atau bersin
HFMD juga boleh merebak melalui sentuhan langsung dengan tangan yang tidak dibasuh atau permukaan yang mengandungi sisa virus tersebut.

Dalam pada itu, menurut Dr Syed, masalah utama yang sering dihadapi bagi mereka yang terdedah dengan HFMD adalah kehadiran ulser di kawasan tertentu pada tubuh. Ia biasanya melibatkan mucosal surfaces, iaitu permukaan membran mukosa.

Ulser ini sering ditemui pada anggota badan seperti:

  • Mulut iaitu di lidah, lelangit atau bahagian belakang tekak
  • Tangan
  • Tapak kaki
  • Kawasan kemaluan iaitu di bahagian depan dan belakang.
Bukan itu sahaja, ulser di dalam mulut boleh menyebabkan kesakitan yang mengganggu anak-anak untuk makan atau minum. Akibatnya, mereka mungkin mengalami dehidrasi kerana kurang minum.

"Selain itu, ulser pada tangan dan kaki biasanya tidak begitu menyakitkan tetapi kadangkala boleh menyebabkan kegatalan akibat radang pada kulit.

"Walaupun kebanyakan kes HFMD adalah ringan, terdapat risiko komplikasi serius yang jarang berlaku.

"Misalnya, virus ini boleh menyerang otak dan menyebabkan ensefalitis (radang otak) atau miokarditis (radang jantung),” kata beliau.

Semburan mulut

Namun, komplikasi tersebut jarang berlaku dan masalah yang biasanya berlaku adalah dehidrasi, namun ia juga boleh menjadi serius jika tidak dirawat dengan baik.

"Jika anak anda dijangkiti HFMD, langkah pertama jangan panik. Jika anak menolak makanan, cuba berikan minuman yang sejuk seperti air jus atau ais krim untuk mengurangkan rasa sakit akibat ulser di mulut. Galakan mereka minum sedikit tetapi kerap,” jelas beliau.

Alternatif lain yang boleh ibu bapa lakukan melalui pengambilan ubat demam seperti paracetamol sebagai ubat tahan sakit.

Selain itu, terdapat semburan mulut seperti Gengigel spray atau Aloclair spray yang mengandungi asid hialuronik yang bagus untuk penyembuhan luka.

Bagi kanak-kanak kecil, semburan yang tidak mempunyai rasa pedas atau mint seperti Gengigel spray lebih disukai.

Dalam pada itu, untuk merawat ulser yang ada di bahagian depan mulut (seperti bibir atau lidah), penggunaan gel seperti Gengigel atau Aloclair Gel mungkin lebih sesuai berbanding semburan.

Namun, produk seperti Oral Aid atau Bonjela tidak begitu digalakkan untuk kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan rasa pedih atau kebas, yang mungkin membuatkan mereka rasa tidak selesa semasa makan.

Bagi sesetengah kes, HFMD memerlukan rawatan di hospital, terutamanya jika anak tidak dapat makan atau minum sama sekali dan menunjukkan tanda-tanda dehidrasi.

"Tanda-tanda ini termasuk bibir kering, mata cengkung, atau kurang kencing.

"Dalam kes yang lebih serius, pemeriksaan lanjut diperlukan untuk memastikan tiada komplikasi seperti ensefalitis atau miokarditis,” ulas Dr Syed.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Justeru, mengamalkan kebersihan yang baik adalah langkah terbaik untuk mencegah HFMD.

Mencuci tangan dengan kerap boleh mengurangkan risiko dijangkiti virus tersebut secara signifikan.

Anda boleh mengajar anak-anak cara mencuci tangan menggunakan air suam dan sabun. Penting untuk berbuat demikian selepas menggunakan tandas, sebelum makan dan selepas berada di tempat awam.

Penyebaran penyakit

Elakkan dari memasukkan sebarang objek ke dalam mulut boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan tersebut.

"Kanak-kanak juga dinasihatkan untuk tidak memasukkan tangan atau objek lain ke dalam atau berhampiran mulut mereka.

"Selain itu, kawasan yang sering digunakan bersama di rumah perlu disanitasi secara berkala.

"Bersihkan permukaan bersama dengan sabun dan air terlebih dahulu, diikuti dengan larutan peluntur yang dicairkan. Mainan, puting dan objek lain yang mungkin tercemar dengan virus juga perlu disanitasi,” kongsi beliau. Jika anda atau anak mengalami gejala seperti demam atau sakit tekak, tinggal di rumah dan elakkan pergi ke sekolah atau tempat kerja.

Sebaiknya, jauhi orang lain apabila lepuh atau ruam mula muncul. Ini dapat membantu mencegah penyebaran penyakit kepada orang lain.

Walaupun HFMD boleh dianggap penyakit ringan, tetapi ia memerlukan penjagaan rapi bagi memastikan anak-anak tidak mengalami dehidrasi.

"HFMD adalah penyakit biasa yang mudah merebak dan boleh menyebabkan ruam merah yang tidak selesa pada tangan, kaki, dan mulut anda. Kanak-kanak dapat pulih sepenuhnya tanpa komplikasi jika ibu bapa membuat penjagaan yang betul.

"Oleh yang demikian, ibu bapa perlu sentiasa memantau keadaan anak dan mendapatkan nasihat perubatan jika gejala bertambah teruk.

"Pastikan anak-anak berehat di rumah dan elak dari berjumpa dengan orang lain sehingga gejala tersebut hilang yang mungkin memakan masa sehingga seminggu,” ujar pakar itu lagi.