Kerap buang air waktu malam & penglihatan kabur antara tanda kencing manis! Dr ini kongsi Peraturan Lapan elak terkena diabetes

Iklan

DIABETES atau juga dikenali sebagai kencing manis, merupakan salah satu penyakit kronik yang semakin membimbangkan di Malaysia.

DIABETES atau juga dikenali sebagai kencing manis, merupakan salah satu penyakit kronik yang semakin membimbangkan di Malaysia.

Dengan statistik yang menunjukkan hampir satu daripada lima orang dewasa di negara ini menghidap penyakit itu, ia bukan lagi isu individu tetapi ancaman kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

Iklan
Iklan

Lebih merisaukan, ramai yang tidak menyedari mereka menghidapnya sehingga berlaku komplikasi serius seperti kerosakan buah pinggang, masalah jantung atau kehilangan penglihatan berlaku.

National Diabetes Registry 2023 melaporkan bahawa terdapat lebih 1.95 juta pesakit diabetes berdaftar di Malaysia, dengan 870,771 pesakit aktif pada akhir 2023. Majoriti pesakit menghidap diabetes Jenis 2.

Iklan

Selain itu, dianggarkan hampir separuh daripada individu yang menghidap diabetes di Malaysia tidak menyedari status kesihatan mereka yang meningkatkan risiko komplikasi serius akibat kelewatan dalam mendapatkan rawatan.

Pakar Endokrinologi dan Perubatan Dalaman dari Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Saiful B Kassim menjelaskan bahawa diabetes terbahagi kepada dua jenis iaitu Jenis 1 dan Jenis 2.

Iklan

Kata beliau, diabetes Jenis 1 jarang berlaku di Malaysia, iaitu sekitar lima peratus. Jenis tersebut berlaku apabila pankreas tidak lagi menghasilkan hormon insulin, yang berfungsi mengambil gula dari darah dan memasukkan ke dalam sel.

Sementara Jenis 2 pula berlaku kerana badan menghasilkan terlalu banyak insulin, tetapi ia tidak berfungsi dengan baik. Keadaan itu sering dikaitkan dengan gaya hidup dan pemakanan tinggi karbohidrat seperti roti canai dan nasi lemak.

Selain itu, simptom-simptom awal diabetes adalah seperti berikut:

  • Kerap kencing, terutamanya pada waktu malam.
  • Rasa haus yang berlebihan.
  • Keletihan atau lesu selepas makan.
  • Penglihatan kabur.
  • Kebas atau rasa seperti dicucuk jarum pada kaki

Gula yang berlebihan dalam saluran darah akan keluar melalui air kencing, menyebabkan pesakit kehilangan banyak air dan sentiasa kehausan. Jika anda mengalami gejala ini, segeralah mendapatkan nasihat pakar.

Kehamilan selamat

Kongsi Dr Saiful lagi, ibu hamil yang mengalami diabetes semasa kehamilan (gestational diabetes), gula dalam darah akan diperiksa selepas bersalin melalui ujian oral glucose tolerance test.

Ujian ini melibatkan pemberian 75 gram gula untuk diminum, kemudian paras gula diperiksa pada 30, 60, dan 120 minit.

Jika paras gula masih tinggi, ini menunjukkan diabetes tidak hilang. Bayi yang dilahirkan juga berisiko tinggi mengalami komplikasi, bukan sahaja semasa bayi tetapi juga ketika remaja kerana mewarisi rintangan insulin daripada ibu.

Oleh itu, perancangan prakehamilan sangat penting. Sebelum mengandung, perlu dilakukan usaha menurunkan berat badan dan paras gula untuk memastikan kehamilan selamat bagi ibu dan bayi.

Selepas bersalin, enam minggu pertama sangat penting kerana rintangan insulin berada pada tahap tertinggi.

Oleh itu, amalkan pemakanan rendah karbohidrat seperti semasa hamil dan teruskan gaya hidup sihat.

Pemeriksaan selepas enam minggu termasuk ujian darah seperti C-peptide dan ujian toleransi glukosa penting untuk menentukan status diabetes. Kegagalan mengawal penyakit tersebut boleh membawa kepada komplikasi serius, termasuk amputasi.

Komplikasi lain termasuk risiko serangan jantung dan strok yang lebih tinggi, selain kerosakan saluran darah kecil di mata dan buah pinggang, menyebabkan keperluan rawatan laser atau dialisis.

Dari segi rawatan, Dr Saiful menjelaskan, setiap rawatan yang berikan oleh perubatan telah melalui kajian.

Kajian tersebut tidak bergantung pada testimoni pesakit tertentu sahaja, tetapi berdasarkan kajian bertahun lamanya terhadap puluhan ribu pesakit.

Ini dipanggil perubatan berasaskan bukti (evidence-based medicine).

Malah, setiap ubat yang diberikan kepada pesakit bukan sahaja menurunkan gula, tetapi lebih daripada itu yang turut memberi kesan kepada penyakit lain.

"Kami melihat kesannya terhadap organ seperti jantung, buah pinggang dan hati, serta usaha untuk mengurangkan risiko kematian.

"Untuk merawat kencing manis, terdapat lebih kurang 10 jenis ubat yang berbeza dan jumlah ini masih berkembang. Ubat terbaik diberikan bergantung pada keadaan pesakit.

"Sebagai contoh, jika pesakit mempunyai obesiti, terdapat ubat yang boleh membantu mengurangkan berat sambil menurunkan gula," ujar beliau.

Malah kongsi pakar itu lagi, menurunkan berat badan sebanyak 10 peratus sahaja boleh mengurangkan risiko diabetes sebanyak 58 peratus, menurunkan kolesterol sebanyak 20 peratus, LDL (kolesterol jahat) sebanyak 15 peratus dan tekanan darah sebanyak enam perlima. Jadi, menurunkan berat badan memberi banyak manfaat.

Salah satu ubat yang baru dalam rawatan kencing manis ialah SGLT-2 Inhibitor. Ubat ini membantu tubuh mengeluarkan gula melalui air kencing.

Peraturan Lapan

Setiap hari, sekitar 300 kilogram gula dikeluarkan, bersamaan dengan satu tin air berkarbonat coca-cola atau satu bar Snickers.

Dalam seminggu, ini bersamaan dengan 2,100 kalori yang boleh menyebabkan penurunan berat badan kira-kira dua kilogram sebulan.

"Pertama sekali, setiap ubat yang kami berikan bukanlah untuk selama-lamanya. Diabetes juga bukanlah sesuatu yang kekal selama-lamanya.

"Ramai yang berfikir bahawa jika sudah menghidap diabetes atau menggunakan insulin, ia untuk selamanya. Ini adalah mitos.

"Jika kencing manis dapat dikesan awal iaitu dalam tempoh enam tahun pertama, kemungkinan untuk pemulihan adalah lebih tinggi.

"Ubat-ubatan yang kami berikan bertujuan mengembalikan fungsi pankreas untuk menghasilkan insulin secara normal.

"Bagi pesakit wanita yang merancang untuk mengandung, kami akan menukar kepada ubat-ubatan yang selamat digunakan semasa kehamilan, seperti metformin, atau ubat lain yang sesuai. Sebagai doktor, kami merancang rawatan ini dengan teliti," jelas beliau.

Dr Saiful juga sempat berkongsi Peraturan Lapan atau ‘the rule of eight‘ mudah untuk diingati untuk orang ramai.

"Pertama, gunakan pinggan bersaiz lapan inci. Ini kerana semakin besar pinggan, semakin banyak makanan yang akan diambil.

"Dalam pinggan lapan inci itu, bahagikan makanan secara suku-suku separuh. Seterusnya, ikut sunnah Rasulullah dengan berhenti makan sebelum mencapai 80 peratus kenyang.

"Kemudian, jangan makan selepas jam lapan malam. Ini kerana badan memerlukan sekurang-kurangnya empat jam untuk memproses makanan sebelum tidur," katanya.

Sebagai contoh, jika tidur pada pukul 12 malam, makan terakhir selepas Maghrib sudah mencukupi.

"80 peratus kejayaan dalam menjaga kesihatan datang daripada pemakanan, manakala 20 peratus lagi daripada senaman. Selepas makan, berjalan cepat selama lapan minit. Anda boleh berjalan di sekitar rumah atau melakukan kerja rumah sebagai senaman ringkas," jelasnya lagi.

Selain itu, pastikan minum lapan gelas air sehari. Air yang mencukupi membantu mengurangkan rasa lapar. Tubuh kita sendiri terdiri daripada 80 peratus air.

Tidur selama lapan jam juga penting untuk mengelakkan hormon ghrelin, iaitu hormon kelaparan, daripada meningkat. Kekurangan tidur sering menyebabkan keinginan untuk makan lebih banyak pada waktu malam.

Pada masa sama, cuba capai 8,000 langkah sehari. Jika sukar, pecahkan kepada dua sesi iaitu 4,000 langkah pada waktu pagi dan selebihnya pada waktu petang.