MELAYARI bahtera perkahwinan tidak semudah yang disangka.
Bergelar isteri atau suami bermakna tanggungjawab dan amanah berat sudah sedia menanti.
Pastinya setiap pasangan mendambakan kehidupan bersama kekal sehinggga ke akhir hayat. Namun, siapalah kita untuk menidakkan takdir-NYA.
Sembilan tahun diulit bahagia, Sofi Anna Nasrudin, 37, tidak menyangka jodohnya bersama suami menemui titik noktah. Beliau yang bergelar suri rumah sepanjang perkahwinan terpaksa berubah 360 darjah demi masa depan tiga orang anaknya yang masih kecil.
Tidak mahu terus tertekan dengan masalah yang menimpa, wanita yang mesra dengan panggilan Sofi ini mengambil masa untuk bangkit semula dengan mencari pekerjaan. Walaupun bergaji kecil tetapi itu sudah cukup bermakna buat dia dan anak-anak.
Setahun selepas peristiwa hitam ini, Sofi dikurniakan rezeki menjadi perunding takaful. Alhamdulillah, perjalanan kariernya sangat lancar sehingga mendapat beberapa anugerah. Betullah orang cakap, bila dah jodoh tak ke mana. Kadang-kadang jodoh itu ada depan mata tapi kita tak nampak.
Berkawan dengan ramai orang bukan sahaja rakan-rakan di agensi malah pelanggan serata negara, Sofi tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan rakan seperjuangan yang selama ini ‘diintai’ dari dunia maya sahaja.
Apa yang membuatkan Sofi terbuka hati semula untuk menerima kehadiran seorang lelaki apabila melihat bakal suaminya itu seorang yang penyayang dan tenang.
Wanita tersebut mengakui tertarik melihat aktiviti harian lelaki tersebut yang setiap minggu dua ke tiga kali akan melawat kubur arwah isterinya bersama dua orang anaknya.
"Saya pernah cakap pada kawan, nak jodoh yang duda ada anak dan kematian isteri. Sepertinya apa yang saya cakap itu menjadi doa dan dimakbulkan ALLAH,” katanya.
Selepas beberapa tahun mengenali hati budi, beliau disatukan dengan Muhammad Aizad Ariffuddin Bin Ahmad Sabri, 36. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Sofi dan Aizad syukur kerana penerimaan anak-anak sangat positif.
"Saya tidak akan ‘ganti’ tempat mummy mereka. Bahkan, saya letakkan gambar mereka bersama mummy di bilik tidur supaya sentiasa ingat pada ibu kandung. Kini, saya berusaha untuk menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak”
"Satu yang saya pegang selepas bercerai, sayangi diri sendiri dulu sebelum sayangi orang lain. Suami ini hanyalah pinjaman. Bila-bila masa DIA boleh ambil sama ada dalam keadaan kita masih hidup ataupun ALLAH ambil dengan cara kematian. Yang kekal itu hanya DIA. Letakkan sepenuh kepercayaan dan harapan kepada-NYA sahaja.
"Lalui setiap ujian dengan senyuman. Kena reda dan anggap akan ada pelangi selepas hujan. Jangan sesekali fikir lepas bercerai kita dah hilang segalanya. Susun atur balik kehidupan kita, bahagiakan diri kita dulu.
"Bila bahagia insya-ALLAH, kita dapat bahagiakan anak-anak. Tipulah kalau kata tak sedih, tak putus harapan masa bercerai dulu tapi kena segera bangun,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Kepada wanita di luar sana yang menghadapi masalah rumah tangga dan susah nak meneruskan kehidupan, jangan musnahkan diri dengan dendam. Belajar memaafkan semua orang termasuk diri sendiri. Pastinya akan ada sinar buat anda.