'Bila dia minta air, itu paling sedih...' Isteri lelaki OKU sebak suami diperlakukan dengan kejam, penyerang bakal disaman 1 juta

Iklan

'MOMEN yang paling menyedihkan apabila dia meminta air.'

Demikian luah Faridah Abdul Karim, 44, isteri kepada lelaki ketidakupayaan mental dipukul beramai-ramai yang tular di laman sosial, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47.

Iklan
Iklan

Dalam temu ramah bersama media, wanita itu tidak dapat menahan sebak dan menyifatkan tindakan sekumpulan lelaki bertindak memukul dan menyepak suaminya disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan berhati perut.

"Saya tak boleh bayang apa perasaan mereka waktu itu sedangkan suami saya beberapa kali memohon maaf atas kesalahan dilakukan," katanya.

Iklan

Faridah yang masih sedih dengan insiden itu berkata, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pihak tidak bertindak melulu.

"Suami saya sudah berulang kali memohon maaf, namun mereka tetap memukulnya malah ketika suami saya minta diberikan air untuk membasuh matanya yang pedih, dia sekali lagi disepak pada bahagian kepala

Iklan

SANGGUP BAYAR GANTI RUGI

Ibu kepada lima anak itu berkata, insiden suaminya melanggar gerai makanan itu sepatutnya diselesaikan dengan cara baik.

"Kalau benar suami saya bersalah dan sengaja langgar, kami akan kami bayar ganti rugi kerugian yang dialami peniaga di situ, Insya-ALLAH kami boleh ganti.

"Tapi tak perlulah layan suami saya seteruk itu. Sepanjang 25 tahun saya berkahwin dia tidak pernah meninggalkan solat dan sering ke surau untuk berjemaah.

"Suami saya selalu solat. Walaupun dia sakit, dia tetap solat. Dia tak pukul orang, hanya mulutnya yang lantang. Kalau hari kejadian tu mereka beritahu nak panggil polis, pasti dia akan takut. Kalau ikat dia bawa pergi balai pun, kes boleh diselesaikan dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Faridah turut berterima kasih kepada beberapa individu yang bertindak menghalang suaminya daripada terus dipukul.

Sementara itu, anaknya, Fakhri Ahmad Nor Al-Faizan turut menyifatkan tindakan tersebut terlalu kejam dan mahu keadilan untuk bapa mereka terbela.

"Bila jadi tular macam ini keluarga jadi malu. Aib semua orang tengok. Video yang sepak muka ayah itu, betul-betul sakit hati. Orang yang buat tu dia tiada di tempat ayah kita," kata Fakhri.

TERIMA KHIDMAT GUAMAN PERCUMA

Ketika ditemui Sinar Harian, Faridah bersama ahli keluarganya menerima kunjungan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Fadini Rahim.

Dalam kunjungan itu, Faridah dan anak-anaknya sempat berbual dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menerusi panggilan video.

Akmal turut menyatakan komitmen pergerakan itu bagi memastikan mangsa mendapat keadilan dan pelaku mendapat hukuman setimpal.

"Saya turut berterima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang sudi menawarkan khidmat guaman percuma untuk keluarganya mendapat keadilan," ujarnya.

PENYERANG BAKAL DISAMAN 1 JUTA

Dalam pada itu, Pengerusi Gerakan Suara Datuk Zulkarnain Mandar berkata pihaknya sedia untuk menyaman individu yang terlibat sebanyak RM1 juta.

Saman berkenaan sebagai pampasan kerana mengasari dan mencederakan mangsa OKU terbabit dan satu amaran keras kepada penganiayaan dan penindasan terhadap golongan tidak berdaya.

"Kumpulan peguam kami akan menghubungi keluarga lelaki itu bagi berbincang dan berharap mereka bersetuju untuk memulakan proses saman," katanya.

Zulkarnain turut mengaitkan insiden itu dengan penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.

"Rakyat Malaysia tidak seharusnya double standard dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan.

"Kita menentang kekejaman Isr4el, tetapi pada waktu sama kejadian menimpa lelaki OKU itu jelas menggambarkan perilaku yang serupa dengan negara haram berkenaan," ujarnya.

Tambah Zulkarnain, dia berharap keluarga mangsa tidak menarik semula laporan polis yang dibuat.

"Kami juga bersedia untuk melangsaikan kerugian peniaga yang terjejas akibat kesilapan mangsa OKU terbabit," katanya.

'DIA BUKAN TAK BELAJAR AGAMA, KUAT BERUSAHA' -RAKAN

Mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, disifatkan rakannya sebagai orang yang kuat berusaha.

Rakan sekolah tampil menceritakan keperibadian sebenar lelaki itu.

Individu menggunakan nama Cikgu Mie berkata, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, merupakan rakannya ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek.

"OKU tu kawan saya. Senior saya. Dia bukan orang tak pandai bukan tak belajar agama tapi ditakdirkan ALLAH uji dia dapat penyakit mental.

"Sejak habis sekolah dia buat macam-macam perniagaan di Kemaman ni untuk hidup macam biasa, dia pernah buka kedai dalam Centre Point.



"Tapi seiring waktu berlalu mungkin dia dah semakin keliru dan kadang-kadang sukar kawal kewarasan," tulisnya menerusi ruangan komen di laman sosial Facebook.

Terdahulu, lelaki ketidakupayaan mental itu dipukul beramai-ramai selepas dikatakan terlanggar salah satu gerai penjaja di sebuah pasar tani di di Chukai, Kemaman, Terengganu pada Jumaat.

Video yang memaparkan kejadian berdurasi 1 minit 52 saat bertebaran di laman sosial menyaksikannya dibelasah, disepak, dipijak dan diheret di tapak pasar tani.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhammad Wan Jaafar, suspek ditahan untuk siasatan ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira jam 8 malam hari yang sama.

Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 18 hingga 60 tahun manakala kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sumber: Sinar Harian, mStar, Berita RTM