'Rehatlah abah, dunia terlalu kejam untukmu.' Anak dakwa motosikal disepak sebelum langgar gerai, sedih bapa dipukul, mahu pelaku dihukum

Iklan
Kredit foto: Utusan Malaysia, TikTok

'REHATLAH abah... dunia terlalu kejam untukmu'

Demikian titip anak perempuan lelaki orang kurang upaya (OKU) yang menjadi mangsa dibelasah sekumpulan orang awam di pasar tani di Chukai, Kemaman, Terengganu selepas terlanggar sebuah gerai penjaja pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Betapa pilunya hati melihat keadaan bapa, Nurul Farhana Ahmad Al Faizan, 21, meluahkannya menerusi hantaran di TikTok.

Nurul Farhana atau lebih dikenali sebagai Hana sedang menjaga bapanya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Iklan

Dalam satu hantaran video berasingan, Nurul Hana juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan bapanya dan membantu mereka sekeluarga.

Iklan

"Terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan ayah saya dan ingin menolong keluarga kami.

Dua hantaran itu masing-masing meraih 6 juta dan 3.9 juta tontonan, dengan rata-rata warganet mendoakan bapa Hana, selain bersedih dan bersimpati dengan apa yang berlaku.



MOTOSIKAL DISEPAK

Sementara itu, menerusi temu ramah portal berita tempatan, Hana mendakwa motosikal ditunggang bapanya telah disepak sebelum terlanggar gerai yang menjual mi goreng itu.

Hal berkenaan didedahkan oleh bapanya selepas dia bertanya kronologi kejadian yang membawa kepada perbuatan dipukul oleh orang ramai.

Dakwanya, selepas pelanggaran itu, bapanya bangun dan mencari individu yang dipercayai menyepak motosikal namun lelaki itu kemudian dipukul beramai-ramai.

Nurul Farhana berkata, dia sangat sedih melihat keadaan ayahnya yang dipukul dan diseret seolah-olah kesalahan yang dilakukan ayahnya sangat besar.

Katanya, walaupun ayahnya OKU mental tetapi dia dan empat adik-beradik yang lain tidak pernah dipukul.

"Saya berharap mereka yang melakukan perbuatan kejam kepada abah mendapat hukuman yang setimpal.

"Saya, mak dan adik beradik yang lain memang sedih bila melihat kecederaan pada badan abah dan hanya abah yang tahu betapa sakitnya dia diperlakukan sebegitu," katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu, ayahnya dihantar ke Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu untuk menjalani rawatan.

Malah, menurut Nurul Farhana, doktor yang merawat bapanya meminta lelaki itu diberikan masa dua hingga tiga hari untuk bertenang dan hanya waris terdekat boleh melawat.

SEORANG LAGI SUSPEK DICEKUP

Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan seorang lagi suspek dalam kejadian tidak berperikemanusiaan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja'afar, berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan.

"Lelaki itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi memberi keterangan dan rakaman percakapan.

Wan Muhamad juga mendedahkan pihak polis turut turut memanggil seberapa saksi lain untuk diambil keterangan, termasuk ahli keluarga mangsa.

Terdahulu, video yang memaparkan kejadian mangsa dipukul berdurasi 1 minit 52 saat bertebaran di laman sosial. Tidak hanya dibelasah, mangsa juga menyaksikannya disepak, dipijak dan diseret di tapak pasar tani itu.

Tiga suspek berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan untuk siasatan ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira jam 8 malam hari yang sama.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sumber: TikTok, Berita Harian, Utusan