KONTROVERSI penjualan produk sandwic ‘ham & cheese’ di premis runcit di sebuah universiti di Kuala Lumpur menjadi isu hangat.
Hal berkenaan membangkitkan isu sensitif apabila penjualan makanan 'sandwic ham & cheese' yang diragui status halal di sebuah kedai serbaneka di kampus berkenaan disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) oleh Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sedang isu berkenaan panas, pelawak dan pelakon Shahrol Shiro menzahirkan perasaan tidak puas hati dengan hantaran media sosial dibuat oleh pelawak Harith Iskander.
Difahamkan, stand up comedy itu memuat naik hantaran sensitif berkaitan isu agama, Malah ujar Shahrol, hal berkenaan juga membuka ruang kepada pelbagai pihak mempersenda kesucian Islam.
"Sebagai pelawak tidak semua sudut pandang boleh dijadikan bahan lawak kita. Adakala kita patut lebih sensitif lebih lagi melibatkan agama kita.
"Apabila saudara @harithiskander membuka ruang agama dijadikan satu bahan yang boleh dipersenda maka pengikut juga akan ikut serta dengan meninggalkan komentar mempersenda agama yang melampau.
"Perkara ini sudah melampau dan satu laporan polis akan dibuat mengenai perkara ini," kongsi Shahrol.
Menerusi ruangan komen, hantaran pemilik nama Shahrol Azizie Azmi itu juga turut membangkitkan rasa kurang senang dalam kalangan warganet.
Rata-rata tidak berpuas hati dengan 'lawak' yang dibuat Harith. Titip mereka:
"Zaman Saidina Umar kalau ada yang persenda Rasullullah SAW memang hilang terus kepala. Jangan diuji kesabaran Muslim."
"Bukankah dia banyak kali persendakan begini tetapi pelik tiada tindakan. Sedih apabila orang Islam sendiri persendakan agamanya."
"Saya setuju! Perkara ni perlu diambil serius ! Laporkan kepada pihak polis dan mesti dibawa ke mahkamah dengan segera. Diam saat agamamu dihina, baik gantikan bajumu dengan kain kafan!
Tidak sekadar Shahrol Shiro, pempengaruh Syahr Musafir juga menyatakann kegusaran tentang perkongsian dibuat pelawak itu.
"Agaknya selebriti yang tengah viral tu sudah menggunakan elemen mempersenda dan merendahkan Melayu dan Islam sejak dulu lagi. Sudah jadi 'modal' bagi dia, supaya terkenal.
"Tahun 2014, dia perlekehkan hudud. Jadi popular. Kemudian minta maaf. Jadi popular lagi. Masa kempen Buy Muslim First, kalau tak silap tahun 2019, dia memperlekehkan dengan perumpamaan kena 'sokong atlet Muslim saja' yang jelas menampakkan dia tidak faham isu.
"Tahun 2021, dia jadi popular lagi dengan sesi Live bersama Muhammad S∆jad (dikenali sebagai Nur S∆jat), juga memaparkan elemen provokasi mencabar ketuhanan.
"Tahun lepas, 2024, lagu Bukit Mak yang entah apa-apa tak berfaedah. Jadi popular semula.
"Tahun ini, 2025, isu 'ham' pula. Orang kita kritik isu kesalahan guna logo halal JAKIM pada produk haram, dia boleh pula pusing pasal perkataan ham. Nampak sangat tak faham.
"Kena ingat, bukan semua benda boleh dijadikan bahan lawak walaupun awak tu kerja sebagai pelawak. Benda tak lawak tak payahlah nak dilawakkan. Apatah lagi kalau benda sensitif," kongsinya.
Menerusi Instagram, Harith telah membuat hantaran mengatakan dirinya keliru sama ada kopi diminum halal memandangkan ada perkataan 'ham'.
"Im SO confused. My iman tergugat. This kopi will lead me down the wrong path in so many ways.
"Not just tempting me to become hamsap but ALSO confusing me with the word 'ham' in it. Ni untuk minum atau makan?
"I must make a polis report because i am so weak i have lost all ability to use logic. Who else is confused? #confused," kongsinya.
Hantaran berkenaan telah membuka ruang kepada warganet membuat komen yang mencalarkan imej Islam dan menghina Rasulullah SAW.
Menerusi tinjauan SinarPlus, hantaran berkenaan masih berada di laman sosial Harith tanpa suntingan.