"TIDAK bersalah, mohon bicara.'
Demikian ungkap pempengaruh dan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof, 38, dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, 37, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Memakai pakaian putih bersama Fadzarudin yang mengenakan kot berwarna hitam, mereka yang baharu pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci menghadapi satu pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan dana Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) milik Fashion Valet Sdn Bhd berjumlah RM8 juta, tujuh tahun lalu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof dan Fadzarudin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
Berikut butiran lanjut berkaitan pertuduhan berkenaan:
1-Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd iaitu dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan PNB berjumlah RM8 juta.
3-Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Artikel berkaitan:
- ‘Walau sayang sanggup ‘let go’ barangan jenama, salur RM3 juta usaha Vivy Yusof demi Palestin
- Catat peraturan di papan putih, ini cara Vivy Yusof didik anak
- 'Baby Nombor 5 tak dirancang, saya berjuang selamatkannya.' Alami pendarahan, Vivy Yusof keguguran kali ketiga
4-Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah mencadangkan, mahkamah mengguna pakai jaminan yang sama ditetapkan dalam prosiding lalu, iaitu RM100,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan.
5-Rosli kemudiannya membenarkan perkara itu, selepas peguam, Ashok Athimulan yang mewakili pasangan suami isteri berkenaan, tidak membantah isu ikat jamin.
6-Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan semula kes.
7-Dalam prosiding sama, Haresh memaklumkan, pihak pendakwaan telah menyerahkan tiga set dokumen kepada pembelaan.
8-Katanya, baki dokumen lain yang akan digunakan untuk perbicaraan kelak, akan diserahkan kepada pihak tertuduh dalam prosiding akan datang.
Imbas kembali 5 Disember tahun lalu, pasangan berkenaan mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB bagi jumlah sama.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ini, ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya, di sebuah bank sama dan tarikh serupa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Vivy dan Fadzaruddin memulakan FashionValet pada tahun 2010.
Bertapak dari Kuala Lumpur, Malaysia, platform ini menawarkan pelbagai pilihan pakaian siap pakai, termasuk pakaian Muslimah, pakaian dalam, dan pakaian renang.
Sumber: Sinar Harian (NOOR AZLIDA ALIMIN)