TULUSNYA kasih sayang, ramai yang mengalirkan air mata menyaksikan kisah cinta dan rumah tangga pasangan orang kurang upaya (OKU) Norazlina Zakaria dan Mohd Nazri Mohd Zain yang menderita kecederaan saraf tunjang yang teruk.
Pasangan yang tular di laman sosial Tiktok ini pada awalnya disangka dua beranak sementelah tindakan Norazlina menguruskan dan mendukung Nazri untuk diuruskan.
"Tak mengapalah, saya anggap sebagai hiburan. Inilah cara kami mencipta bahagia," kongsinya.
Menyingkap kisah pasangan suami isteri ini, pada tahun 2007, Norazlina telah terlibat dengan sebuah nahas jalan raya dan mengalami kecederaan saraf tunjang yang teruk.
Norazlina penghidap kecederaan saraf tunjang paraplegia manakala suaminya juga mengalami kecederaan saraf tunjang tetraplegia.
Nazri mengalami lumpuh separa badan selepas tercampak dari bangunan berketinggian lima meter ketika melakukan kerja-kerja pemasangan penghawa dingin.
Menempuh detik gelap hidup selepas mengalami kecederaan saraf tunjang, Norazlina bangkit dan dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Sokongan Rehabilitasi Hospital Sungai Buloh bagi memberikan khidmat fisioterapi dan motivasi kepada orang lain yang senasib dengan dirinya.
Dengan aturan Yang Maha Esa, ketika menabur bakti di pusat rehabilitasi itulah Norazlina bertemu dengan Nazri yang ketika itu hanya terlantar.
Bermula dengan bantuan menjalankan fisioterapi, akhirnya Norazlina menyampaikan hasrat hati untuk berkahwin dengan Nazri supaya dapat menjaganya secara halal.
Nazri terkejut dilamar sedangkan dirinya dalam keadaan tidak berupaya dan hanya berharap kepada duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja.
Berkahwin pada 26 November 2016, ikatan terjalin dengan penuh erti kesabaran dan pengorbanan.
Berkat kekuatan dan kesabaran itu, Norazlina memberikan sokongan tanpa henti kepada Nazri hingga lelaki itu mampu berdikari dan melakukan banyak perkara sendiri.
Namun ketika menempuh alam perkahwinan, mereka diuji lagi. Kali ini Norazlina perlu menjalani pembedahan pembuangan rahim akibat tumor dan masalah saraf tunjang yang menyerang secara serentak pada hari pembedahan.
Hal itu meragut kemampuannya untuk makan dan minum dan bergantung kepada tiub khas dan perlu mengambil susu setiap empat jam sekali.
"Ketika itu saya tidak dapat berjalan. Ketika itu suami saya membuktikan dia mampu jaga saya.
"Berbulan-bulan dia menjaga saya, dia juga memandu kereta, dia berulang alik dan adakala tidur di hospital.
"Malah selepas balik ke rumah dialah yang mencuci luka pada perut saya. Dia juga membersihkan muntah saya. Pada ketika itu juga tahap kesihatan suami juga menurun," katanya.
Susulan komplikasi pada luka, Norazlina perlu menjalani empat pembedahan susulan yang turut mencetuskan tekanan emosi kemurungan dan keresahan.
Setelah sakit yang dialami Norazlina reda, siapa sangka badai sekali lagi menghempas apabila Nazri pula disahkan mempunyai tumor dalam saraf tunjang serta masalah autoimun kronik (SLE).
Pada 2023, tumor berkenaan dibuang namun Nazri semakin lemah kerana SLE. Luka pada kaki dan belakang (bedsore) menjadi teruk.
Dengan semangat yang tidak pernah pudar, Norazlina terus kuat mencari rezeki dengan mencari barang-barang terpakai berupa kertas kotak dan tin.
Dengan bantuan sahabat bernama Zaidah, Norazlina mencari barangan terpakai untuk dijual. Pada setiap hari Sabtu setahun yang lalu, mereka akan Damansara Damai untuk mendapatkan kotak-kotak terpakai dari sebuah pusat dialisis.
Selepas rahimnya dibuang, Norazlina kerap mengalami kekejangan dan sakit belakang akibat kecederaan saraf tunjang.
Hasil jualan barangan terpakai mampu menjana pendapatan RM250 sebulan.
Kisah cinta Norazlina dan Nazri menyentuh hati. Kekuatan luar biasa kurniaan ALLAH buat pasangan ini membuktikan kasih tanpa batas.
Warganet sempat menitipkan doa agar kebahagiaan mereka berpanjangan, dipermudah urusan dan dikurniakan kesembuhan.
"Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Semoga Nazri Dan Norazalina kuat dan tabah."
"Kasih sayang tanpa batas. Perjalanan suami isteri yang luar biasa dan meruntun jiwa."
"Hebat pasangan suami isteri OKU ini. Semoga ALLAH sentiasa memudahkan segala urusan mereka dan menempatkan mereka di syurga firdaus, insya-ALLAH."
Sumber: YouTube Majalah 3, TikTok