LUARANNYA nampak seperti manusia normal namun sebenarnya ada masalah yang tersimpan rapi di benak fikirannya. Bukannya mahu simpati tetapi lebih kepada memberi pemahaman kepada masyarakat bahawa penyakit mental bukanlah boleh dibuat main.
Melalui perkongsian di Facebook miliknya, Noor Azlin Mohamad berkata pada awalnya beliau seperti insan lain yang tidak boleh menerima kenyataan apabila doktor memberitahu dirinya menderita anxiety pada tahun 2017.
Takkan lah pemidato dan pengerusi majis yang aktif sepertinya boleh terkena penyakit itu. Beliau seorang yang ceria, suka bercakap dan tidak gentar berada di khalayak ramai. Sikap tidak endahnya itu membawa kepada kesan negatif apabila ditakdirkan memiliki depresi pada tahun akhir menyambung pengajian di peringkat Master.
Kemuncaknya berlaku pada tahun 2021 apabila didiagnos dengan Bipolar Disorder Type II yang memerlukannya untuk menghadiri rawatan dan makan ubat setiap hari. Perkara tersebut benar-benar membuatkannya hilang semangat untuk meneruskan kehidupan.
"Suami saya tidak pernah kurung saya. Tidak pernah larang saya nak cuba apa-apa. Saya yang lebih selesa berada dan bekerja dari rumah sahaja”.
"Saya pernah buka pintu kereta dan nak terjun, jalan kaki jauh-jauh sampai letih, mengamuk, terbalikkan barang dan menjerit-jerit. Masa kejadian berlaku memang di luar kawalan saya. Marah, bengang, sedih, semua emosi negatif tu berpusing-pusing dalam fikiran”
"Suami saya banyak bantu saya uruskan rumah tangga. Alhamdulillah saya bahagia. Ada waktu saya menangis tiba-tiba dan rasa serabut sangat. Alhamdulillah semuanya ujian ALLAH bagi. DIA bagi saya rasa lebih dan kurang,” ujar ibu kepada enam orang anak itu.
Beliau turut mengakui, ramai salah faham dengan situasi mereka yang sakit mental. Masyarakat ingat golongan ini mengada-ngada, suka cari perhatian, cari simpati dan sebagainya sedangkan doktor pakar yang diagnos penyakit, bukannya diri sendiri.
Jadi ianya bukan lakonan. Bukan tak cukup semangat, bukan tak cukup berusaha, bukan malas apatah lagi tak cukup iman. Sakit mental ini tindak balas kimia, fizikal dan saraf otak dah tak sama dengan manusia normal. Jadi memaksa orang yang sakit mental terutama yang sudah teruk untuk jadi normal adalah mustahil.
"Ada waktu, saya tidak dapat membalas komen di media sosial. Ini kerana perlakuan itu memerlukan kekuatan yang luar biasa. Menulis lebih mudah tetapi untuk menjawab komen itu sebenarnya menakutkan untuk orang seperti saya”.
"Begitu juga menjawab telefon, membalas mesej dan juga menerima kehadiran tetamu. Semuanya menakutkan. Malah melihat wajah orang lain juga menakutkan kerana setiap apa yang dilihat menjadi makmal pemikiran. Kenapa dia tulis begitu? Kenapa ada banyak tanda ??!! Kenapa dia tengok aku? Kenapa dia fikir begitu? Kenapa, kenapa dan kenapa. Manusia normal tidak akan berfikiran begitu” katanya lagi.
Bagi anda yang memiliki masalah mental dan kad orang kurang upaya (OKU), buanglah jauh-jauh perasaan malu. Jangan malu ada pasangan OKU mental. Ada anak atau keluarga yang seperti ini adalah peluang nak buat pahala. Allah yang jadikan ujian ini. Ada hikmah dan ganjaran untuk mereka yang diuji.
Pandanglah mereka yang mengalami masalah mental ini dengan belas ihsan. Tidak perlu tunggu jadi seperti mereka baru mula mahu memahami. Tidak faham tidak mengapa, tetapi jangan sampai membenci.