SEORANG kanak-kanak perempuan berdepan dengan detik cemas apabila seekor kutu babi bersarang dalam telinganya.
Perkara ini dikongsikan oleh ibunya yang dikenali sebagai Aqila Nasir menerusi perkongsian beliau di laman Facebook baru-baru ini.
Menceritakan semula kejadian tersebut, Aqila berkata anaknya, Hayfa mula mengadu sakit telinga pada Jumaat (17 Januari 2025) dan ketika memeriksa beliau tidak apa-apa bendasing.
Pada keesokan harinya, Hayfa alami kesakitan yang semakin serius bila mana beliau hanya duduk ketika berada di pusat permainan menyebabkan Aqila memeriksa sekali lagi dan nyata terbukti terdapat kutu babi.
"Sampai Kidzoona, dia duduk je tak main. Ibu tanya kenapa, dia tunjuk telinga. Baru ibu kau nak start risau ye, sebab Hayfa ni aktif sangat. Kalau dia pasif, memang takde sebab lain melainkan dia betul-betul sakit.
"Jadi, ibu suluh telinga dia nampak hitam-hitam dekat area lubang telinga. Ibu cakap darah beku ke ni, ada luka ke dalam telinga? Hayfa ada korek telinga ke? Dia kata tak ada.
"Jadi, ibu loading sambil fikir. Tiba-tiba terlintas kutu babi. Terus ibu Google kutu babi dalam telinga. Keluar gambar sebiji hitam-hitam kat telinga Hayfa. Confirm lah kutu babi," kata beliau.
Oleh sebab itu, beliau terus pergi ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Namun begitu, pusat rawatan berkenaan tidak memberi kerjasama baik dan hanya bekalkan mereka ubat tahan sakit.
Setelah itu, Aqila membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan di klinik lain untuk pemeriksaan lebih terperinci dan hasilnya, doktor mendapati kutu babi itu berada dalam telinga anaknya bersama dengan telur-telur berwarna hitam.
Jelasnya lagi, beliau tak tahu punca keberadaan kutu babi itu di dalam telinga anaknya namun akui anak perempuannya itu gemar bermain dan membelai kucing-kucing liar.
"Tengok dekat kamera tu penuh dah ye. Macam dah lama doktor cakap. Tapi, tu lah Hayfa cakap sakit baru semalam.
"Mungkin sebelum itu dia tak rasa sangat sebab pain tolerance dia memang tinggi. Sebab tu ayah dia cakap, kalau Hayfa cakap sakit maksudnya serious case.
"Doktor dah cakap awal-awal, masa nak tarik ni memang sakit sangat ye. Sebab kaki kutu babi ni mencengkam kulit, jadi kulit akan terkoyak sikit.
"Tapi, telinga ke hidung kalau luka, sakit dia memang tak boleh bawa bincang. Doktor cuci sekali taik ke telur hitam-hitam tu sebab dia kata kalau tak bersih boleh jadi infection juga. Memang bersih doktor cucikan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Aqila menyeru kepada orang ramai terutamanya kepada ibu bapa di luar sana supaya tidak mengambil ringan sekiranya anak mengadu sakit di bahagian anggota badan mereka.