Kehilangan pasangan hidup merupakan peristiwa hitam yang paling digeruni untuk dihadapi. Namun, ajal manusia tiada siapa yang tahu. Apabila waktu itu tiba, semestinya ia memberi kesan mendalam kepada pasangan yang masih meneruskan kehidupan.
Sudah tentu rasa sedih yang tak dapat diungkap dengan kata-kata tetapi siapalah kita untuk melawan takdir-NYA. Jika ia berlarutan, kadangkala boleh membawa kepada kemurungan. Itulah yang berlaku kepada Marinah Mohd Beseri, 48, yang kehilangan suami pada tahun lalu akibat penyakit kanser.
Bagi mengubati kesedihan, Marinah kerap hadir ke tanah perkuburan bagi menziarah kubur arwah suaminya. siapa sangka, rupa-rupanya jodoh kedua ada di depan mata. Nor Hisham Mohd Nor, 64, juga sering ke tanah perkuburan yang sama bagi menziarahi arwah isterinya yang meninggal dunia pada April tahun lepas.
Kedua-duanya mula berkenalan apabila terlibat dengan aktiviti sukarelawan bersama waris-waris di tanah perkuburan berkenaan. Mereka dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp untuk sebarang maklumat tentang aktiviti seterusnya.
"Suami saya meninggal dunia bulan lima tahun lalu akibat kanser pankreas dan sejak kehilangannya, menjadi rutin saya menziarahi pusaranya.
"Bila sering ke kubur, saya mula kenal dengan waris-waris lain yang turut ziarah kubur ahli keluarga mereka dan kemudiannya kami sepakat menubuhkan kumpulan sukarelawan membersihkan kubur di situ yang turut disertai suami (sekarang)," katanya.
Apabila terlibat dengan kumpulan ini, ibu kepada empat orang anak ini sering berjumpa dengan Nor Hisham bagi aktiviti membersihkan tanah perkuburan dan apa sahaja yang melibatkan waris-waris lain.
Secara tidak sengaja, perkenalan itu membawa kepada hubungan yang lebih akrab antara keduanya. Pun demikian, beliau sama sekali tidak memasang niat untuk berkahwin dalam tempoh terdekat, namun siapalah dirinya untuk menolak takdir.
"Alhamdulillah anak-anak menerima keputusan saya untuk berkahwin lagi dan pada 15 November tahun lalu, kami selamat diijabkabulkan.
"Memang ramai yang terkejut kerana cepat sangat saya bertemu jodoh baharu dan apa yang saya boleh katakan inilah ketentuan ALLAH," katanya.
Nor Hisham pula berkata, beliau tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan seorang wanita yang baharu kehilangan suami dan dikenalinya di tanah perkuburan.
"Selepas arwah isteri meninggal pada April tahun lalu, saya tak pernah lupa untuk datang menziarahi pusaranya setiap hari.
"Biasalah bila kita datang ke kubur, akan ada juga waris-waris lain di situ dan termasuklah isteri saya sekarang yang sentiasa ziarah kubur arwah suaminya," katanya.
Alhamdulillah, kini mereka bahagia melayari bahtera rumah tangga di samping meneruskan aktiviti harian menziarah kubur arwah pasangan kedua-duanya.