Bukan sekadar batuk Ini bahaya asma anak anda yang mungkin anda terlepas pandang!

Iklan

ASMA bronkial ialah penyakit pernafasan kronik yang dicirikan oleh keradangan saluran udara yang menyebabkan saluran pernafasan menjadi sensitif dan bertindak balas secara berlebihan apabila terdedah kepada pencetus tertentu.

ASMA bronkial ialah penyakit pernafasan kronik yang dicirikan oleh keradangan saluran udara yang menyebabkan saluran pernafasan menjadi sensitif dan bertindak balas secara berlebihan apabila terdedah kepada pencetus tertentu.

Keadaan ini menyebabkan penyempitan saluran pernafasan yang boleh menyebabkan gejala seperti batuk, semput, sesak nafas, dan dada sesak.

Iklan
Iklan

Asma adalah penyakit pernafasan kronik utama di seluruh dunia, memberi kesan kepada kira-kira 262 juta individu.

Di Malaysia, dianggarkan melibatkan 8.9 hingga 13 peratus kanak-kanak dan 6.3 peratus orang dewasa.

Iklan

Menurut Dr Ng Wei Chun, Pakar Perunding Pediatrik di Hospital Columbia Asia Taiping, kanak-kanak yang mempunyai asma sering mengalami batuk yang kerap walaupun nampak sihat.

"Batuk atau semput biasanya berlaku pada waktu malam atau sejurus selepas bangun tidur, semasa bermain, ketawa, atau terdedah kepada pencetus tertentu.

Iklan

"Gejala asma yang lebih teruk boleh berlaku semasa serangan, termasuk batuk dan semput yang teruk, pernafasan yang cepat atau sukar bernafas, dada tertarik secara berlebihan, sukar untuk bercakap atau menjadi pucat atau biru,” kata beliau.

Asma bronkial dalam kalangan kanak-kanak boleh menjadi sukar untuk didiagnos, terutamanya bagi mereka yang berumur di bawah enam tahun kerana gejalanya boleh menyerupai penyakit lain seperti laryngomalacia, tercekik benda asing (foreign body aspiration) dan gastro-esophageal reflux.

Diagnosis asma biasanya dilakukan oleh pakar kanak-kanak melalui sejarah perubatan terperinci, termasuk corak batuk dan semput, serta pemeriksaan fizikal yang menyeluruh.

Bagi kanak-kanak yang lebih tua, penggunaan peak flow meter dapat membantu dalam diagnosis asma.

Pencetus asma merujuk kepada faktor-faktor yang menyebabkan gejala asma menjadi lebih teruk.

Pencetus yang berlaku termasuk jangkitan pernafasan, perubahan cuaca, persekitaran sejuk, makanan dan minuman sejuk, habuk, asap, bulu haiwan, perubahan emosi seperti menangis atau ketawa berlebihan serta bersenam.

Dalam pada itu, faktor risiko asma dalam kalangan kanak-kanak termasuk sejarah penyakit dalam keluarga, terutamanya jika kedua-dua ibu bapa mempunyai sejarah asma.

Selain itu, sejarah dermatitis atopik (ekzema) dan rinitis alergi (hay fever) turut meningkatkan risiko.

Faktor risiko persekitaran lain termasuk hama habuk rumah, alergen kucing, anjing, dan lipas.

"Asma bronkial adalah salah satu keadaan atopik (alahan), yang mana alahan merujuk kepada corak perkembangan penyakit atopik.

"Keadaan ini biasanya bermula dengan dermatitis atopik semasa bayi, kemudian berkembang menjadi alahan makanan dan rinitis alergi, sebelum berlanjutan menjadi asma bronkial pada zaman kanak-kanak.

"Di Malaysia, dianggarkan sekitar 12.6 peratus kanak-kanak mengalami deramatitis atopik, yang mengukuhkan hubungan antara penyakit atopik dengan risiko perkembangan asma,” ujar beliau.

Dari sudut rawatan pula, ia melibatkan pengurusan gejala untuk mencegah serangan asma dan memperbaiki kualiti hidup pesakit. Salah satu langkah penting adalah menghasilkan pelan tindakan asma peribadi.

Pelan ini merangkumi panduan mengenai pemilihan ubat asma, cara dan masa penggunaan, serta tindakan yang perlu diambil sekiranya gejala bertambah teruk dan salah satunya, pemilihan penyedut yang tepat. Terdapat dua jenis penyedut yang digunakan dalam rawatan asma iaitu:

  • Penyedut pencegah (preventers): digunakan setiap hari untuk mengawal gejala dan mencegah serangan
  • Penyedut pelega (relievers): digunakan untuk meredakan gejala semasa serangan.

Selain itu, doktor mungkin menetapkan ubat tambahan seperti nebulisasi, kortikosteroid sistemik, dan antibiotik jika ada jangkitan kuman yang disyaki.

Mengawal asma dengan baik bermaksud gejala dan serangan asma jarang berlaku atau hampir tidak berlaku sama sekali.

Faktor utama untuk mencapai kawalan ini termasuklah mematuhi pelan tindakan asma, mengambil ubat mengikut jadual yang ditetapkan serta mengelakkan pendedahan kepada pencetus.

Dengan kawalan asma yang baik, kanak-kanak yang menghidap asma dapat menjalani kehidupan yang aktif dan normal, melaksanakan aktiviti harian tanpa gangguan, serta mengurangkan risiko ponteng sekolah akibat gejala asma.

Gangguan tidur

Asma pada kanak-kanak sering hadir bersama keadaan lain yang dikenali sebagai komorbiditi, seperti rinitis alahan, obesiti, adenotonsillar hypertrophy, obstructive sleep apnea (OSA), dan penyakit gastro-oesophageal reflux (GORD).

Komorbiditi ini boleh memburukkan gejala asma serta menjejaskan kualiti hidup kanak-kanak.

Sebagai contoh, obesiti boleh meningkatkan keradangan kronik yang berkaitan dengan asma, manakala OSA boleh menyebabkan gangguan tidur yang menjadikan gejala asma lebih teruk.

Oleh itu, penting untuk menguruskan komorbiditi ini secara menyeluruh bagi memastikan kawalan asma yang lebih baik.

Pada masa yang sama, kanak-kanak yang menghidap asma tetap boleh menjalani gaya hidup aktif seperti kanak-kanak lain.

Mereka digalakkan untuk bersenam kerana ia penting untuk kesihatan keseluruhan.

Namun, penggunaan penyedut pelega sebelum bersenam adalah disarankan bagi mengurangkan risiko gejala yang berpunca daripada aktiviti fizikal.