MANIS sungguh cara penyanyi Aiman Tino 'membeli' jiwa permaisuri hatinya.
Dalam satu perkongsian baru-baru ini, beliau sempat memberikan kejutan dengan meninggalkan sejumlah wang nafkah buat isteri sebelum keluar rumah untuk aktiviti memancing.
Isterinya, Che Syarah Haifa Che Isa, 26, yang sebak berkongsi momen pelantun lagu Ku Rela Dibenci itu berbuat demikian.
"Pergi memancing buat orang touching pula dia ni," kongsinya.
Lebih menyentuh hati apabila penyayi berusia 27 tahun itu turut menitipkan kata-kata pada nota yang disisipkan buat suri hati tersayang.
"Nafkah untuk sayang bulan ini. Doakan saya bawa balik hadiah.
"Halalkan hutang piutang saya selama ini, semoga kita kekal bahagia sampai syurga
Che Syarah yang terharu menerima pemberian berkenaan sebak dan menitiskan air mata. Beliau tidak menjangka menerima nota berkenaan daripada Aiman.
"Saya doakan awak sentiasa murah rezeki dan rezeki tidak berhenti," kongsinya.
Sekadar info, Aiman dan Che Syarah berkahwin pada 2 Mei 2023.
Merujuk artikel yang pernah disiarkan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama hanya menetapkan tanggungjawab wajib diberi adalah keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan pembantu rumah bagi suami yang mampu.
Demikian perihal penetapan kadar nafkah suami kepada isteri yang diperincikan oleh Imam Khatib Asy-Syirbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj.
"Ini menunjukkan bahawa ulama tidak pernah menetapkan kewajipan suami untuk memberi wang poket kepada isteri apabila suami telah memberi nafkah keperluan asas yang cukup kepada isteri.
"Selain itu, pemberian nafkah juga merujuk kepada kemampuan suami sama ada kaya dan berkemampuan, sederhana atau fakir mengikut kadar ketentuan uruf masyarakat setempat,” katanya katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1916: Adakah suami wajib menyatakan secara khusus nafkah yang diberikan kepada isteri.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT:"Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah: 233)
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian menukilkan pandangan dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji yang memperincikan tentang kadar nafkah mengikut kemampuan masing-masing seperti berikut:
1. Golongan kaya
Dua cupak makanan asasi, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.
2. Golongan sederhana
Satu setengah cupak makanan asasi, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.
3. Golongan fakir
Satu cupak makanan asasi, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.