Bakal naik lagi! Warganet risau tarif elektrik baharu, harga barang melambung susulan efek domino. 10 cara berjimat

Iklan

NAIK lagi!

Berita tentang kenaikan tarif elektrik Julai ini menjadi topik hangat warganet.

Iklan
Iklan

Masakan tidak, biarpun membabitkan jumlah 14 peratus ramai yang menyuarakan kebimbangan efek domino kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Sebelum ini media melaporkan, Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada 26 Disember 2024 mencadangkan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dilaksanakan mulai 1 Julai 2025.

Iklan

Difahamkan, kenaikan berkenaan hanya akan membabitkan industri dan ia itu akan berlaku mengikut kaedah Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) mulai Julai.

Walaupun sudah memberi jaminan ia tidak akan sesekali membabitkan 85 peratus rakyat.

Iklan

Menerusi laman Facebook Sinar Harian, warganet meluahkan pelbagai reaksi berhubung perubahan itu.

"Saya terpanggil untuk menyatakan kegusaran walaupun ada menyatakan rakyat tidak akan terkesan. Ia memberi kesan domino kepada syarikat rantaian pembekal dan perkhidmatan dan menaikkan harga barangan dan cara tidak langsung rakyat akan menerima tempiasnya. Mohon pencerahan daripada pihak atasan."

"Tunggu efek domino. Elektrik naik harga dan barangan pun akan naik."

"Kalau sudah tarif industri naik, apa kesannya kepada harga barangan yang dikeluarkan?"

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semakan akan dibuat setiap enam bulan sekali berdasarkan harga semasa.

Malah beliau juga memberi jaminan bahawa sektor industri tidak akan dibebankan dengan kenaikan yang tinggi melebihi 14 peratus.

Langkah tersebut bagi memastikan keseimbangan antara menjaga kebajikan rakyat dan kelangsungan perniagaan.

Untuk rekod, jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014 akan terus berkuat kuasa tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun 2025.

LANGKAH JIMAT ELEKTRIK

Jangan tunggu sehingga bil elektrik mencecah angka yang tinggi baru terfikir untuk berjimat.

Langkah kecil yang kita ambil hari ini boleh memberi kesan besar kepada pengurusan kewangan dan keselesaan dalam jangka panjang.

1-Matikan barangan elektrik selepas diguna. Elektrik beban terbiar atau ‘idle load electricity’ dari kelengkapan elektrik seperti komputer dalam mod tidur, perakam video digital dan beberapa kelengkapan lain dalam mod Tunggu Sedia telah menyumbang kepada penggunaan tenaga elektrik yang signifikan di rumah anda. Tenaga elektrik terbiar ini sering dikenali sebagai Tenaga Hantu atau ‘Phantom Energy’. Jadi, elakkan dari membiarkan kelengkapan elektrik anda berada dalam mod tunggu sedia dan matikan suis elektrik bila tidak digunakan. Agar penggunaan elektrik dan bil dapat dijimatkan.

2-Jangan letakkan peti sejuk anda di ruang yang terlalu panas, contohnya ruang yang terdedah kepada sinaran matahari atau berhampiran dengan dapur memasak. Sediakan ruang yang secukupnya dikeliling peti sejuk anda bagi memastikan pengaliran udara yang baik.

3-Di dapur, apabila ingin mula memasak, keluarkan semua bahan-bahan yang diperlukan dalam masakan seperti sayur, kicap, sos dan sebagainya. Jangan buka dan tutup peti sejuk berulang kali kerana boleh menyebabkan kompresor pada peti sejuk tersebut bekerja dengan lebih kuat untuk menyejukkan makanan dan akibatnya, menggunakan elektrik dengan lebih banyak.

4-Tetapkan suhu penyaman udara yang rendah agar tenaga lebih efisien. Suhu antara 24°C hingga 26°C, suhu tersebut lebih mudah dicapai dan masa pemampat perlu beroperasi adalah lebih singkat.

5-Lebih banyak bintang lebih jimat tenaga! Gunakan perkakas elektrik seperti peti sejuk dan ketuhar yang memiliki pengesahan satu hingga lima bintang daripada Suruhanjaya Tenaga untuk penjimatan tenaga elektrik.

6-Getah pintu peti sejuk yang telah rosak atau koyak akan menyebabkan peti sejuk anda sukar untuk mencapai suhu yang optimum dan akan menyebabkan pemampat (compressor) peti sejuk kerap beroperasi bagi memastikan ruangan dalaman kekal sejuk. Pastikan ia diganti baharu!

7-Sentiasa mencuci penapis penyaman udara keranahabuk yang terkumpul pada penapis akan menyebabkan ia beroperasi secara kurang efisien dan menyumbang kepada penggunaan tenaga elektrik yang lebih banyak.

8-Selain itu, bagi memastikan penyaman udara anda kekal efisien, pastikan gelung unit dalam penyaman udara dan gelung sirip luar (unit pemampat) berada dalam keadaan yang bersih.

9-Gunakan mesin basuh pada had yang sesuai untuk mengelakkan pembaziran tenaga elektrik. Hindari terlebih muatan!

10-Seterika pakaian pada kuantiti yang banyak pada satu masa, misalnya pada hujung minggu untuk kegunaan pada hari-hari berikutnya.