Bila sudah berumah tangga pastinya suami isteri mahukan pasangan berada dekat di sisi setiap masa.
Namun, kita hanya merancang hanya ALLAH yang menentukan segalanya.
Nur Izzaty Abd Jalil, 35, antara isteri yang perlu berjauhan dengan suami kerana bekerja di Singapura.
Siapa sangka rutin kebiasaan yang dilalui sebelum suami kembali ke Kota Singa pada hari tersebut menjadi lambaian terakhir buatnya.
Suaminya, Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya terlanggar tayar ganti sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 232.1 Utara- Selatan (PLUS) arah utara pada tengah malam Rabu.
"Arwah dari rumah kami di Rawang, Selangor dan bergerak pulang ke Johor dalam jam 10.30 malam Selasa. Selalunya dia ambil masa dalam dua jam setengah untuk sampai sana.
"Tapi dalam jam 2 pagi macam itu saya tunggu dia mesej, tidak ada. Jadi saya mesej tanya... abang dah sampai ke, tetapi tidak berjawab. Saya menunggu balasan mesej sampai tertidur," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Rembau pada Rabu.
Menurut Izzaty, lebih kurang jam 5 pagi tiba-tiba ayah mertua datang ke rumah dan memberitahu suami terlibat dengan kemalangan.
Sebelum kejadian menyayat hati ini berlaku, arwah suaminya sempat meluangkan masa malah menambah cuti sedia ada untuk bercuti bersama keluarga tercinta sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Sepanjang dua tahun bekerja di Singapura, arwah akan pulang ke rumah di Rawang setiap minggu.
Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika bas yang dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi, Kuala Lumpur telah melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.
Keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan. Toyota Hilux dan kereta BMW yang berada di belakang laluan sama iaitu lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang bas tersebut.
Selepas pelanggaran tersebut, tayar ganti Toyota Hilux telah tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh motosikal mangsa yang sedang bergerak di lorong kecemasan.
Nahas jam 12.20 tengah malam yang membabitkan lima kenderaan itu juga menyebabkan empat lagi mangsa cedera.