KATA orang, selagi ada peluang, ciptalah kenangan dengan orang tersayang.
Seperti dalam sebuah video tular, seorang lelaki warga emas sempat 'melaram' baju Melayu lengkap bersampin dan bersongkok semata-mata untuk memberi kejutan buat isteri tersayang sempena ulang tahun perkahwian.
Video tular yang menerima lebih 117,000 tontonan dimuat naik pengguna TikTok @nurieeana itu memaparkan lelaki berkenaan ketika menjemput isteri tersayang pulang dari tempat kerja pada hari ulang tahung perkahwinan pasangan itu yang ke-25 tahun.
Siapa kata pasangan berusia tidak romantis kan? Menerusi video berkenaan si isteri kelihatan tersenyum manis menatap suami segak memakai sepersalinan baju Melayu kuning menjemputnya dengan motosikal.
Malah lelaki berkenaan juga sempat mengucup dahi suri hatinya sebelum membonceng motosikal ditunggangnya.
"Sempena ulang tahun perkahwinan ke-25 tahun, suami datang pakai baju Melayu siap bersampin jemput isteri balik kerja.
"Semoga bahagia hingga ke syurga,” titipnya.
Warganet rata-rata terharu melihat ketulusan lelaki berkenaan dan usahanya menggembirakan isteri.
Tidak kurang juga meluahkan rasa bahagia melihat kemesraan pasangan itu yang menghargai antara satu sama lain walaupun sudah dihambat usia.
"Berbahagia itu dengan pelbagai cara. Saling menghargai."
"Pak cik tak lupa cium dahi isteri, sangat romantik."
"Masya-ALLAH, tabarakallah. Semoga rumahtangga mereka sentiasa dalam rahmat dan kebaikan ALLAH. Moga syurga destinasi bahtera kalian. Aamiin"
"Wanita simple sahaja, kami tidak meminta seluruh dunia atau emas permata, cukuplah menghargai sebagai isteri."
"Sweetnya. Happy anniversary. Moga berkasih sayang hingga ke jannah."
HUKUM MAJLIS ULANG TAHUN PERKAHWINAN DAN KELAHIRAN DALAM ISLAM
1-Menurut Pejabat Mufti Wilayah, hukumnya harus, tetapi mestilah mengikuti beberapa garis panduan seperti tidak diiktikadkan sambutan tersebut sebagai pegangan Islam atau sunah mahupun digalakkan.
2-Bagaimanapun, jika ia semata-mata memperingati dan menzahirkan rasa gembira di samping muhasabah diri betapa dekatnya dengan kematian dan muamalah antara suami dan isteri maka ia dibolehkan.
3-Namun, jika pada sambutan berkenaan membawa kepada percampuran kepada lelaki dan perempuan tanpa batasan, ucapan yang dimurkai ALLAH, nyanyian dan tarian yang keji, maka hukumnya tidak harus, kerana perhimpunan atas kebatilan.