SEKUAT mana pun manusia mesti ada masa kita rasa penat dan putus asa.
Pelbagai ujian melanda hidup sebenarnya menguatkan lagi semangat kita untuk meneruskan kehidupan. Bukan mudah untuk bangkit namun demi insan tercinta semua itu perlu ditolak tepi.
Empunya diri Salinah Adelinah Abdullah antara individu terpilih untuk menjaga ayahnya yang tidak sihat kerana strok. Bukan itu sahaja. insan kesayangannya itu turut menghidap penyakit tiga serangkai iaitu jantung, buah pinggang dan kencing manis.
"Sebelum kena strok, ayah memang selalu keluar masuk hospital. Namun semakin meningkat usia, macam-macam penyakit tambahan pula kena.
"Sebelum strok, ayah pernah jatuh di rumah sebanyak tiga kali. Mujurlah waktu itu, anak saya dan penjaga ada bersama. Saya bergegas pulang selepas dihubungi anak dan terus bawa ayah ke hospital.
"Doktor beritahu ada darah beku dalam otak dan diagnos ayah kena strok. Bahagian badan sebelah kiri dan separuh badan tak boleh bergerak," kongsi beliau.
Hasil pemeriksaan juga mendapati penyakit darah tinggi penyebab utama.
Selepas itu, pada awal tahun lepas ayahnya dimasukkan lagi ke hospital akibat keradangan.
Ujian bertimpa-timpa bila mana si ayah terkena demam denggi selain turut mengalami masalah pernafasan sehingga terpaksa ditidurkan.
"Beberapa bulan selepas itu, ayah dimasukkan lagi ke wad kerana terdapat batu karang di dalam hempedu. Ayah ditidurkan sekali lagi dan kali ini perlu lalui proses pembedahan bagi membuang batu karang.
"Disebabkan sudah dua kali ditidurkan dan faktor kesihatan yang kurang memberangsangkan, doktor ada beritahu saya untuk terima dengan hati terbuka jika ada komplikasi berlaku.
"Waktu itu, saya tak boleh berfikir sangat. Hanya angguk faham dan terima apa sahaja berita dari doktor. Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar dan mengambil masa dua minggu untuk ayah sembuh dan pulang ke rumah," ujar wanita yang mesra dengan panggilan Ina.
Disebabkan keadaan ayahnya, Ahmad Mohamed Tahir, 69, yang semakin hari semakin membimbangkan, Ina tekad untuk berhenti kerja walaupun tahu masalah kewangan yang akan wujud di kemudian hari.
Beliau tidak mahu apa-apa terjadi pada ayahnya tambahan pula ayahanda tercinta kerap kena sawan sebelum ini.
Berhenti kerjaNyata, keputusan untuk berhenti kerja adalah tepat. Wanita itu berasa bersyukur dapat melihat ayahnya di depan mata dan menjaga sendiri keperluan tanpa perlu menyusahkan orang lain.
"Suami saya tentera dan jarang pulang ke rumah. Bila ada di rumah, dia yang banyak membantu menguruskan ayah.
"Walaupun hanya bapa mertua, alhamdulillah suami tidak kekok dan melayan seperti ayah kandung sendiri.
"Di rumah, saya ditemani anak lelaki Muhammad Umar Mukminin, 6 tahun yang banyak bantu buat kerja rumah dan menjaga datuknya," ungkapnya.
Tambahnya lagi, anak lelakinya itu sudah tahu bagaimana menguruskan datuknya tanpa perlu diajar.
"Saya tak perlu suruh, dia sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Mungkin kerana dia biasa tengok saya uruskan datuknya," dedahnya lagi.
Bila ditanya perasaan melihat insan tersayang diuji dengan penyakit kronik, Ina mengakui adakalanya dirinya ‘koyak‘.
"Tipulah kalau kata saya tidak tertekan. Kita semua manusia biasa, mesti ada rasa penat.
"Cara saya lepaskan tekanan adalah dengan menangis sepuas hati atau pun mengemas seluruh rumah.
"Bila dah penat, saya akan tidur. Bila bangun, semua masalah tu berlalu pergi seperti saya lupa apa yang telah berlaku," ungkap beliau lagi.
Tegas Ina, tiada perasaan terbeban atau menyusahkan dalam menjaga ayahnya. Beliau reda dan syukur dapat mencurah bakti kerana menjadi kewajipan seorang anak dalam menjaga orang tuanya.
"Waktu kecil dulu, kita selalu tidak sihat. Ibu ayah selalu berkorban bersengkang mata menjaga sampai sihat.
"Sekarang ini, tiba masa untuk membalas budi.
"Selain daripada suami dan anak, ayah sahaja lah yang saya ada sekarang ini,"jelasnya.
Sumber kekuatan beliau adalah janji yang dibuat kepada arwah ibu lapan tahun lalu.
"Ketika itu saya berumur 20 tahun. Saya janji akan menjaga ayah sepenuh jiwa raga walaupun hanyalah anak angkat.
"Ayah dan ibu membesarkan saya seperti anak sendiri. Saya ditatang bagaikan minyak yang penuh walaupun dalam keluarga yang sederhana," katanya.
Kini, demi memenuhi keperluan ayahnya dan keluarga, Ina berniaga selain menggunakan kepakaran memasak dengan menjual sambal secara dalam talian.
Jika anda ingin menghulurkan bantuan, boleh menyokong perniagaan Ina dengan membeli Sambal Ayah di akaun Tiktok @amoibajumerah.
Beliau menjual sambal kosong yang berharga RM13.99 satu paket atau sambal petai berharga RM14.99 satu paket.