Kematian yang 'tertunda'. Wanita hamil rentung bersama empat anaknya selepas 13 hari terselamat dari kemalangan

Iklan

HATI siapa yang tidak luluh mendengar kisah tragis yang menimpa seorang ibu bersama empat anaknya yang rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, pada Khamis.

Iklan
Iklan

Lebih menyayat hati, dikhabarkan mangsa, Laila Fathinah Mustapa sedang mengandung lima bulan anak ketujuhnya ketika kejadian tragis itu berlaku.

Perkara itu dimaklumkan oleh ibu mangsa, Ruziha Osman, yang masih terkejut dan sedih dengan pemergian anak sulungnya bersama empat cucu kesayangannya yang berusia antara empat hingga 13 tahun.

Iklan

Ruziha berkata, kali terakhir beliau melihat wanita itu dan cucu-cucunya adalah pada hari kejadian, selepas menghantar mereka pulang ke rumah tersebut.

Ruziha yang kini berusia 60 tahun berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, malah senyumannya tidak pernah lekang.

Iklan

Tambahnya, keluarga mereka sebenarnya masih dalam fasa pemulihan emosi selepas kemalangan jalan raya yang menimpa arwah sekeluarga pada 30 Januari lalu.

"Memang tak sangka, lagipun arwah kelihatan ceria dan bergurau dengan kami seperti biasa.

"Arwah sedang mengandung, malah sebelum ini mereka sekeluarga terlibat dalam kemalangan di Brisu Alor Gajah pada 30 Januari lalu, namun terselamat," katanya.

Namun, siapa sangka, selepas terselamat dari nahas tersebut, mereka akhirnya dijemput Ilahi dalam tragedi yang lebih menyayat hati.

Sementara itu, ibu saudara kepada suami arwah, yang hanya dikenali sebagai Ina, menyifatkan pemergian Laila dan anak-anaknya sebagai satu takdir yang sukar diterima.

"ALLAH SWT telah menyelamatkan mereka dalam kemalangan sebelum ini, tetapi rupanya takdir menjemput mereka dengan cara lain.

"Kami baru kehilangan bapa saudara (datuk), kini diuji dengan kejadian yang lebih besar," katanya dengan nada hiba.

Selain meragut nyawa, tragedi memilukan ini turut memusnahkan kediaman yang hangus dijilat api.

Mangsa yang terkorban ialah Laila Fathinah Mustapa, 37; Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6; dan Izz Danish Fathi, 4.

Bagaimanapun, suami Laila, Muhammad Khairuddin Saari, 35, terselamat dalam kejadian itu, walaupun mengalami sesak nafas akibat menghidu asap tebal. Beliau kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.