MENYEDARI potensi kebun mangga harum manis mampu menjadi destinasi percutian ekopelancongan, John Thow Hing Chuang mahu mencuba sesuatu yang berbeza.
Setelah membulatkan tekad, akhirnya tanah seluas 0.3 hektar yang terletak di Pauh Tiga Beradik, Simpang Ampat, Perlis miliknya dibangunkan tanpa menjejaskan sedikit pun 40 batang pokok buah-buahan tersebut.
Meskipun mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan projek Country Road Homestay dengan penginapan berkonsepkan kabin, namun anak jati Perlis itu berpuas hati dengan hasilnya kini.
"Saya sangat teliti dan pastikan semuanya mengikut apa yang dirancangkan. Namun, pada masa sama, saya mahu memelihara baka pokok terbaik yang ada di sini supaya tidak rosak sepanjang kerja pembinaan.
"Ini kerana, pokok mangga harum manis inilah antara daya tarikan inap desa gaya kabin yang saya cuba perkenalkan di Perlis,” katanya yang juga seorang pengurus insurans.
Memulakan operasi pada 1 Julai lalu, John gembira apabila sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Tempahan bilik juga sentiasa penuh pada cuti hujung minggu.
Menurut beliau, mereka yang pertama kali datang bercuti Country Road Homestay pasti tertawan dengan keindahan landskap yang menghiasi 12 buah kabin.
Panorama sawah bendang yang terbentang luas bakal memberi ketenangan kepada pengunjung.
Jika bertandang kena pada waktunya, orang ramai juga boleh menyaksikan gulungan jerami padi gergasi yang diletakkan di tepi sawah.
"Di Country Road Homestay, pengunjung lebih banyak diajak menghayati kehidupan desa dan pemandangan semula jadi yang indah.
"Apa yang saya boleh kata, premis saya merupakan kawasan strategik untuk melihat pemandangan matahari terbenam.
"Pada waktu malam, kawasan ini memang tenang dan damai,” katanya yang menerapkan dekorasi dalaman bilik dengan rona putih dan hijau mint.
Mengulas lanjut, John berkata, terdapat beberapa pilihan kamar yang boleh dipilih.
"Bagi mereka yang ingin bermalam di bawah pokok mangga, khemah yang lengkap dengan tilam dan kipas mudah alih tersedia dengan caj serendah RM80 hingga RM90.
"Jika ingin berkhemah dan mempunyai set kelengkapan sendiri, tapak perkhemahan yang selesa di kawasan kebun boleh disewa dengan kadar sewa RM40 hingga RM50 untuk dua orang," ujarnya.
Baca juga ‘Aura Felda’ di Warong Tersorok, lebih 30 jenis lauk-pauk tradisional bikin ramai rambang mata
Selain akses kemudahan kolam renang, kata John, Country Road Homestay turut mengajak para penghuni melakukan aktiviti santai seperti berbasikal, memancing di sungai berhampiran dan rock climbing untuk si kecil.
Usah bimbang soal makanan kerana premis itu tidak jauh dari Kuala Perlis yang terkenal dengan hidangan makanan laut.
"Premis kami juga memang dekat dengan pusat tumpuan ramai seperti Taman Agrovet Perlis, Gunung Medan, Gua Kelam dan banyak lagi. Seperkara, ia sering menjadi transit untuk mereka yang mahu bercuti ke Thailand,” katanya.
Sebelum menutup perbualan, ujar usahawan itu, jika orang ramai berkunjung ketika musim mangga harum manis, mereka berpeluang untuk membeli produk kebanggaan Perlis itu terus dari kebun pada harga istimewa.
Country Road Homestay
Alamat: Pauh Tiga Beradik, Simpang Ampat, Perlis
Waktu operasi: 24 jam
Pakej harga: RM128 hingga RM158 (harga promosi) dan RM168 hingga RM228 (harga normal)
Facebook: Country Road Homestay
Instagram: @countryroadhmsty
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee