BAK chang, makanan tradisional masyarakat Cina sejak beribu-ribu tahun dahulu.
Ia dikaitkan dengan kisah seorang pahlawan yang difitnah hingga membawa kepada kematiannya.
Selepas beliau terjun ke sungai, penduduk kampung gagal menemui mayatnya dan mencampakkan bak chang ke dalam sungai.
Ini supaya ikan atau binatang di sungai tidak memakan mayat pahlawan tersebut.
Dari situlah bermulanya tradisi membuat bak chang, yang turut dikaitkan dengan sambutan Festival Bot Naga pada setiap tahun.
Komuniti Cina Hakka
Siapa sangka, dahulunya hanya menjamu anak-anak makan, kini satu Malaysia menantikan bak chang yang dihasilkan oleh Haniesah Lai atau lebih mesra disapa Mama Cah.
"Resipi ini sebenarnya diwarisi daripada arwah mertua saya. Bekas suami saya dahulu berasal daripada komuniti Cina Hakka.
"Jadi, sejak saya tinggal bersama keluarga mertua, saya belajar cara membuat bak chang.
"Saya sudah membuat menu ini selama lebih 31 tahun, tetapi baru sahaja menjualnya secara komersial,” katanya yang memeluk Islam sejak tahun 2013.
Tambah anak kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu, keistimewaan juadah tersebut terletak pada rasanya yang berlemak, sedikit berempah dan inti yang padat.
Kebiasaannya pulut dalam makanan seperti ketupat atau pulut kuning, ia selalunya dimakan dengan lauk seperti rendang.
Namun berbeza dengan bak chang yang sudah lengkap dengan inti tersendiri untuk dimakan terus.
Sementara itu, ada juga satu lagi versi yang dipanggil nyonya cang, yang sedikit berbeza.
Ia mempunyai rasa lebih pedas kerana terdapat sambal udang kering Baba Nyonya dalam intinya.
"Saya sudah lama dalam bidang perniagaan makanan, tetapi khusus untuk bak chang, saya mula sekitar bulan Ogos 2024.
"Semuanya bermula selepas saya berkongsi satu video tentang bak chang di TikTok.
"Rupa-rupanya ramai yang mencari bak cang halal tetapi susah nak jumpa yang sedap. Dari situ, saya ambil keputusan untuk menjadikannya sebagai produk utama,” tambah Mama Cah.
Selain berniaga, beliau juga turut aktif berkongsi resipi, terutamanya masakan Cina halal.
Bertanyakan tentang sambutan dari pembeli, beliau bersyukur mendapat sambutan luar biasa.
Beliau juga mula mengembangkan pasaran ke Singapura melalui Shopee Singapura. Malah, ada juga permintaan dari Brunei serta Indonesia.
Malah, beliau juga mengimpikan untuk membuka sebuah kafe yang khusus menjual makanan Cina halal, namun ia masih dalam perancangan.