MENGIMBANGI kehidupan sebagai seorang ibu, isteri, dan selebriti bukanlah sesuatu yang mudah.
Bagi penyanyi terkenal, Wany Hasrita, setiap keputusan dalam kehidupannya dibuat dengan penuh pertimbangan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan keluarga tercinta.
Meskipun menjalani kehidupan PJJ (hubungan jarak jauh), wanita yang sentiasa manis dengan senyuman itu tetap optimis dan berpegang pada nilai kepercayaan dalam rumah tangga. Ramadan dan Syawal tahun ini pastinya lebih bermakna buatnya, dan peminat setia pasti mendoakan kebahagiaan berpanjangan buat penyanyi kesayangan mereka ini.
Wany baru-baru ini menjadi tetamu jemputan untuk program Borak Bibir Merah eksklusif bersama Erra Fazira anjuran SinarPlus.Program bual bicara menyaksikan pihak SinarPlus berkolaborasi bersama pusat borong GM Klang. Turut mengambil bahagian sebagai penaja adalah butik Minaz, Hotel Mardhiyyah, parfum Malaya Perfumery, Ombak Dive Resort, Siti Murni, Econsave dan MyKitchen Partner.
Istimewanya episod kali ini, pihak penganjur turut membuat kejutan buat pengacara, Erra Fazira bersempena hari ulang tahun kelahirannya yang disambut Februari lalu.
Berbalik kepada sesi temu bual penulis bersama pemilik nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, beliau berkongsi kisah persiapan menyambut Ramadan, hari raya dan cabaran berjauhan dengan suaminya sejak awal perkahwinan sehinggalah mereka dikurniakan seorang anak perempuan.
Sebagai seorang ibu, jujur Wany mengakui cukup mementingkan kesejahteraan anaknya, lebih-lebih lagi apabila beliau begitu sibuk dengan komitmen kerja.
Namun, beliau tidak betah meninggalkan si kecil sendirian dengan pembantu dan memastikan ada ahli keluarga yang menemani.
"Jika saya tiada di rumah, ibu akan ada. Jika beliau sibuk, akan ada seseorang dalam kalangan keluarga bersama pembantu.
"Saya kena pastikan ada orang monitor. Bukan soal tak percaya pada pembantu, tetapi setidak-tidaknya ada ahli keluarga di sisi anak saya. Kita letakkan kepercayaan untuk orang jaga, tetapi tak boleh lepas tangan. Mana tahu ada dugaan nak jadi dan tidak ralat sendiri,” ujarnya.
Tahun ini, Wany sekali lagi akan menyambut Aidilfitri di Kuching, lokasi yang menjadi kampung halaman suaminya, Mohd Al-Adib Fahmi Harun. Ini bukan kali pertama dirinya beraya di sana, tetapi kali ini lebih bermakna kerana ia merupakan tahun pertama akan sambut raya bertiga di tempat kelahiran suaminya.
"Tahun pertama beraya berdua adalah pada 2023, kali ini lebih manis kerana bakal beraya bertiga,” katanya teruja.
Mengenai pemilihan warna baju raya, Wany lebih fleksibel dan spontan dalam membuat keputusan.
"Kami sedondon, cuma belum pilih lagi warna apa nak pakai. Ikut apa yang nampak cantik dan akan pakai. Tahun ini sudah terbeli baju anak dulu, jadi akan ikut warna tersebut. Namun, mungkin juga akan berubah 'last minute',” selorohnya.
Hubungan jarak jauh
Perbualan kami turut menyentuh momen dirindui Wany ketika bulan puasa.Kongsinya, jika berpeluang turun ke bazar, apam balik adalah juadah yang akan dicari dahulu.
"Saya tak ikut spesifik pergi bazar mana, itulah menu yang saya cari dulu. Namun sudah empat tahun tak pergi bazar Ramadan sebab terbabit sebagai hos untuk rancangan Borak Dulu Baru Buka.
"Tahun ini pun sama, alhamdulilah rezeki anak. Saya tidak ralat kerana menjadi hos juga satu kerjaya yang diminati,” ulasnya lagi.
Program bual bicara terbitan RTM itu menampilkan gandingan hos popular Amin Idris dan Wany Hasrita serta penampilan istimewa Atu Zero.
Jelas Wany lagi, walaupun tidak berpeluang menjejak kaki ke bazar seperti dulu, pelantun lagu Menahan Rindu itu menganggap ada hikmah disebaliknya kerana pada masa sama, beliau dapat belajar untuk mengawal pemakanan sepanjang Ramadan.
"Sebenarnya tak perlu makanan berat dan banyak untuk kenyang.
"Jadi, saya belajar kawal makan ketika berpuasa. memang waktu pasan macam-macam nak makan, tetapi bila jadi hos, ia mengajar saya untuk tidak terlalu ikut nafsu. Badan pun tak berat untuk beribadah,” kongsinya.
Menyentuh sisi peribadi beliau sebagai isteri kepada seorang juruterbang, ramai pasti tahu beliau kini tinggal berjauhan dengan suami.
"Ibu pernah tanya sebelum kahwin, memang sudah bersedia nak PJJ? Disebabkan masa bercinta sudah berjauhan, jadi rasa okay. Tetapi lepas kahwin, mula rasa berbeza. Sebenarnya, hidup berumah tangga, isteri mesti berada di sisi suami, dan anak kena ada ayah untuk membesar,” ungkapnya.
Meskipun terpisah jauh, suaminya tetap rapat dengan anak mereka.
"Ada masanya dua bulan lebih tak jumpa ikut masing-masing punya masa free. Tetapi hari-hari video call,” tambahnya.
Wany juga mengakui dirinya harus bersedia jika suatu hari nanti suaminya meminta berpindah ke Kuching.
"Sekarang ini masih bertahan dan berjuang. Kita tak tahu bagaimana kemudian hari. Lambat laun kalau suami minta pindah ke sana, maka saya perlu akur,” ungkapnya lagi sambil tersenyum.
Anak kedua
Dalam soal kepercayaan, Wany mengamalkan konsep keterbukaan dan komunikasi yang baik bersama suaminya.
Mereka turut menggunakan aplikasi penjejak lokasi untuk memastikan keselamatan masing-masing.
"Lagipun kami ada aplikasi pada telefon masing-masing. Kalau suami tak angkat atau jawab panggilan, mungkin ada hal kecemasan tengah dilakukan. Jadi, saya tahu dia berada di mana menerusi aplikasi tersebut,” katanya.
Bagi Wany, bukan soal cemburu atau tidak percaya membuatkan dirinya memilih menggunakan aplikasi tersebut.
"Pada saya tidak ada gunanya membiarkan diri dipenuhi perasaan curiga.
"Saya tak suka nak geram sorang-sorang. Baik tak payah, kan? Menyusahkan hati sendiri. Jadi, kalau tak puas hati, saya terus telefon. Lagipun saya tahu suami juga sibuk, cuma kalau memang terdesak sangat saya akan terus hubunginya,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi.
Bila ditanya mengenai anak kedua, Wany lebih cenderung untuk menunggu sehingga sudah bersedia dan tinggal bersama suaminya.
"Anak membesar dan momen itu tidak bertahan lama. Untuk anak kedua, rasanya tunggu dulu, mungkin bila kami sudah duduk sekali,” jelasnya ringkas.
Pada masa sama, beliau mengakui kehidupan begitu berubah dan menyedari betapa kuatnya naluri seorang ibu setelah memiliki anak sendiri.
"Dulu waktu belum berkahwin, kalau tengah makan dengar budak-budak nangis rasa macam kenapa ye macam tu. Mungkin kerana saya anak tunggal.
"Sekarang kalau ada kanak-kanak menangis, rasa nak pergi pujuk,” katanya sambil ketawa sebelum menutup perbualan bersama penulis.