SETIAP kali Ramadan menjelang, jutaan rakyat Malaysia pastinya menantikan kemunculan siri 30 Hari 30 Menu daripada usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming.
Video masakannya bukan sahaja mencuri perhatian, malah sering membuatkan netizen teruja untuk mencuba sendiri di rumah.
Seperti biasa, pada hari pertama puasa, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman tampil berkongsi resipi empat jenis air berbuka puasa iaitu vanila sarsi, teh bunga Zapple, Vitagen longan, dan kopi santan Vietnam.
Sekali dengar, sudah terbayang kemanisan setiap minuman yang menyegarkan selepas seharian berpuasa.
Namun, di sebalik keterujaan warga maya, satu komen daripada Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Dr Rafidah Abdullah, menarik perhatian ramai.
Secara spontan, beliau menyatakan bahawa dirinya lebih memilih air kosong untuk menghilangkan dahaga selepas seharian berpuasa yang secara tidak langsung juga mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kencing manis.
"Saya berbuka air kosong. Alhamdullillah hilang juga hausnya, tiada risiko kencing manis," tulisnya.
Bukan setakat itu, beliau turut menegur kandungan gula dalam video yang dimuat naik oleh pencipta kandungan, Che Sayang Kitchen, yang juga berkongsi resipi minuman berbuka puasa.
"Hati-hati. Kandungan gula tinggi, risiko kencing manis dan obesiti," kongsinya.
Menurutnya, pengambilan gula yang berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit berbahaya dan obesiti jika tidak dikawal.
Dalam masa yang sama, Dr Rafidah menegaskan bahawa beliau akan terus menyebarkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan gaya hidup sihat, khususnya dalam pemilihan makanan dan minuman sepanjang bulan Ramadan.
"Saya nampak ramai masyarakat yang sudah sedar tentang bahaya makanan dan minum yang tidak sihat.
"Saya akan terus mengingatkan semua tentang bahayanya makanan dan minuman tidak sihat (contoh air warna-warni) setiap kali lalu 'timeline'," ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan reaksi bercampur-baur.
Ada yang merasakan teguran tersebut seperti ‘membunuh’ keterujaan pencipta kandungan dalam berkongsi idea dengan orang ramai.
Namun, tidak kurang juga yang menyokong pandangan Dr Rafidah, menyifatkannya sebagai langkah berani dalam mengingatkan masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan ketika berpuasa.