'Terima Kasih Ya ALLAH, peluang bermanja 12 bulan...' Baddrol Bakhtiar reda dengan pemergian anak bongsu

Iklan

SUASANA pagi Rabu bertukar suram apabila masyarakat dikejutkan dengan berita pemergian anak bongsu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar.

Muhammad Darwisy, si kecil yang pernah menjadi penawar hati, kini telah kembali kepada Pencipta-NYA dikediaman mereka di Resort Homes Cinta Sayang lebih kurang jam 3.15 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Anak syurga itu dikatakan sejak lahir menghadapi masalah kesihatan berkaitan jantung dan paru-paru.

Iklan

"Terima kasih Ya ALLAH kerana memberi peluang selama 12 bulan bermanja dengan Muhammad Darwisy.” tulisnya di laman Instagram miliknya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun, dalam kepayahan itu, Baddrol dan isteri menerima ujian ini dengan hati yang tabah.

Iklan

"Alhamdulillah, selesai semua urusan anak syurga ayah dan ibu. Sesungguhnya, ALLAH lebih menyayangimu, Muhammad Darwisy.

"Tunggu ayah dan ibu di syurga nanti ya. Bermainlah dengan riang kamu di sana. Sambutlah tangan kami ketika mana kami melalui titian sirat nanti dan pimpinlah kami hingga ke dalam syurga.

"Sedih atas setiap kehilangan sesuatu yang kita sayang itu biasa, tetapi reda dan sabar dengan ujian ini adalah luar biasa,” luahnya lagi.

Di sebalik kesedihan, beliau tetap mengungkapkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada keluarganya sepanjang tempoh sukar ini.

Setiap doa dan kata-kata semangat menjadi penguat bagi mereka sekeluarga untuk terus bertahan.

"Terima kasih juga kepada ahli keluarga, saudara mara, sahabat-sahabat, pihak yang terlibat membantu dari awal sampai ke akhir dan pada yang mendoakan serta memberi ucapan,” ujar beliau lagi.

Muhammad Darwisy, walau hanya dipinjamkan seketika di dunia, namun kasih sayang dan kenangan bersamanya tetap abadi dalam hati mereka yang menyayanginya.

Al-Fatihah buat anak syurga, Muhammad Darwisy.