TERASA nak bawa keluarga untuk berbuka puasa di luar tetapi buntu tidak tahu nak pilih lokasi yang mana. Di sini ada tiga tempat pilihan yang boleh menjadi pilihan anda:
1- HOTEL HILTON KUALA LUMPUR
Sesekali menjamu selera berbuka puasa bersama insan tersayang perlu diterapkan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.
Apa kata Ramadan kali ini anda ke Hotel Hilton Kuala Lumpur untuk menikmati hidangan mewah dengan masakan tempatan dan antarabangsa.
Bahan-bahan premium, produk tempatan segar dan resipi tradisional diubahsuai dengan sentuhan kontemporari berkonsep ‘Nikmati Sajian, Eratkan Jalinan’.
Rasai sendiri keenakan 'Lambassador' smoked paprika beef shank, rendang hijau bola daging kambing Australia, slow-baked daging rusuk Australia dengan serunding kelapa dan juga sambal strawberi.
Akhiri hidangan anda dengan pencuci mulut durian musang king dan juga aiskrim premium. Buffet Exquisite Ramadan Showcase di Vasco’s berharga RM238 untuk dewasa dan RM119 untuk kanak-kanak (6-12 tahun).
2- HYATT PLACE KUALA LUMPUR
Setiap tahun pasti tidak akan terlepas untuk menyajikan makanan bermutu dan mengikat selera.
Kali ini, Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil dengan bangganya mempersembahkan Sajian Senja berkonsepkan hidangan klasik Malaysia yang digemari oleh semua orang.
Disediakan dengan penuh kasih sayang oleh Ketua Kulinari, Lee Yew Ken bersama Cef Muhammad Afiq, bufet yang sangat dinanti-nantikan ini menampilkan pelbagai stesen masakan panas yang dibuat secara langsung.
Tidak dilupa juga hidangan utama seperti nasi mandi kambing, sup gearbox, pelbagai jenis kerabu, lauk-pauk tradisional dan juga teh tarik sebagai pengikat selera anda.
Segera membuat tempahan anda dari 7 hingga 28 Mac 2025 bertempat di Wira Ballroom. Tempahan awal sehingga 14 Mac ini boleh mendapatkan harga RM148 untuk dewasa dan RM108 untuk kanak-kanak, manakala untuk hari seterusnya kembali ke harga asal, RM178 untuk dewasa dan RM128 untuk kanak-kanak.
3- HOTEL DORSETT PUTRAJAYA
Lebih 160 hidangan berkonsepkan tradisional dan kontemporari ditawarkan oleh Hotel Dorsett Putrajaya sempena Ramadan pada 3 sehingga 28 Mac 2025.
Bertemakan #Bismillah Citra Rasa Sajian Malam - Rasa dan Riadah, Dorsett Putrajaya membawa pengunjung menikmati hidangan berbuka puasa sambil diiringi persembahan daripada kumpulan kugiran Symphony Live and Soul Performance di aras tiga hotel dari jam 6 petang sehingga 9.30 malam.
Berlatar belakangkan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, akan menjadikan pengalaman berbuka puasa yang pastinya menarik dan tidak dapat dilupakan.
Cef Eksekutif Hotel Dorsett Putrajaya, Shamsul Rizal Johari berkata, kelainan yang ditonjolkan pada Ramadan tahun ini ialah menyajikan nasi kandar.
"Kita memilih nasi kandar kerana ia merupakan kegemaran rakyat Malaysia dan popular ketika ini. Untuk nasi kandar, kita ada nasi briyani kambing dan pelbagai lauk lain.
"Selain itu kita juga menyajikan sajian barat yang istimewa antaranya salmon thermidor, BBQ beef ribs, classic chicken cordon bleu dan battered fish stick serta sherpherd's pie yang klasik," katanya.
Tambah beliau, antara hidangan lain yang dihidangkan ialah kambing, udang galah, sotong dan ikan bakar serta burung puyuh berempah, selain sajian seperti lemang, ketupat, kerabu dan aneka jenis kuih tradisional Melayu.
Harga ditawarkan ialah RM148 (dewasa), tempahan awal RM118 dan RM88 bagi warga emas 60 tahun ke atas serta kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun.