PENGARUH enam duta selebriti jenama Amber di bawah rangkaian perniagaan Usanita Sdn Bhd terbukti membawa impak besar apabila jenama itu semakin dikenali di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini semakin terserlah selepas Amber berjaya menembusi pasaran Singapura melalui penyertaan di pesta raya CelebFest baru-baru ini.
Barisan duta terkenal yang terdiri daripada Fattah Amin, Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Nora Danish, Aina Abdul, dan Sophia Albarakbah menjadi faktor utama kejayaan Amber dalam menarik perhatian pembeli dan peminat di luar Malaysia. Kehadiran mereka bukan sahaja menarik minat pengguna baharu tetapi juga memperkukuhkan imej jenama Amber sebagai satu jenama fesyen premium di rantau ini.
Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Usanita, Shafiq Ikhwan, pemilihan keenam-enam duta ini adalah langkah yang tepat kerana mereka memiliki pengaruh besar yang mampu membantu membangunkan jenama Amber di peringkat lebih luas.
"Kami percaya pemilihan keenam-enam duta ini sangat tepat kerana mereka bukan sahaja mempunyai pengaruh besar, tetapi turut membantu membangunkan jenama Amber. Kehadiran mereka telah meningkatkan permintaan terhadap koleksi Romantics Raya tahun ini,” katanya.
Tambahnya lagi, kolaborasi bersama selebriti terkenal terbukti memberi impak positif terhadap jenama Amber, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk berkembang ke luar negara.
"Kami melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan besar dan akan terus bekerjasama dengan ikon-ikon berpengaruh bagi memperkukuhkan jenama Amber di pasaran serantau,” jelasnya.
Jadi Tumpuan di CelebFest
CelebFest yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Suntec City adalah antara festival membeli-belah terbesar menjelang Aidilfitri. Acara ini menghimpunkan jenama terkenal serta selebriti dari Malaysia, Singapura, dan Brunei, menjadikannya platform yang sangat berprestij bagi jenama seperti Amber.
Sebagai penaja utama acara tersebut, Usanita Sdn Bhd berjaya menarik perhatian pengunjung menerusi jenama fesyen Amber yang menampilkan koleksi istimewa Romantics Raya tahun ini. Sambutan luar biasa daripada pengunjung Singapura membuktikan keupayaan Amber untuk bersaing di pasaran antarabangsa.
Menurut Shafiq, penyertaan di CelebFest bukan sekadar peluang jualan, tetapi juga satu langkah strategik dalam memperkukuhkan kehadiran jenama Amber di peringkat antarabangsa.
"Usanita sangat bangga dapat menjadi sebahagian daripada CelebFest kerana festival ini bukan sekadar acara jualan biasa. Ia merupakan perhimpunan jenama terkenal, selebriti, serta usahawan hebat dari rantau ini.
Kejayaan berkenaan menjadi pemangkin kepada jenama tempatan lain untuk lebih berani menembusi pasaran luar negara, sekali gus mengharumkan nama industri fesyen Malaysia di persada dunia.