Ramadan dan Aidilfitri pertama kali tanpa suami, Ayie sayu mengenang kembali memori

Iklan

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bukan mudah untuk seorang wanita membesarkan anak-anak seorang diri tanpa kehadiran insan bernama suami di sisi.

Kudrat yang ada perlu digunakan sepenuhnya bagi membesarkan anak-anak yang masih bersekolah.

Iklan
Iklan

Nurul Hidayah Miskan atau lebih mesra dengan panggilan Ayie merupakan antara insan terpilih yang perlu melayari bahtera hidup selepas kematian suaminya tahun lalu.

Lebih memilukan, empat bulan sebelum itu, beliau kehilangan ayah kandung buat selama-lamanya.

Iklan

"Saya tidak sangka akan diuji sebegini rupa, tetapi siapalah kita untuk menidakkan takdir Allah. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

"Sebelum ini, saya bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat korporat di ibu negara. Selepas tujuh tahun berkhidmat, saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ayah dan suami yang tidak sihat pada tahun 2019.

Iklan

"Pada awalnya, suami agak kecewa dengan keputusan itu. Arwah tahu betapa minatnya saya dalam dunia pekerjaan, tetapi apakan daya, keadaan memaksa saya membuat keputusan ini,” ujar ibu kepada tujuh cahaya mata yang kini menetap di Kampung Sijangkang.

Pada permulaannya, ketiadaan gaji bulanan menyebabkan Ayie dan suaminya berdepan kesukaran menguruskan perbelanjaan keluarga, ditambah pula apabila suaminya terpaksa melepaskan jawatan sebagai warden asrama akibat masalah tekanan darah tinggi.

Sebagai ibu bapa, mereka perlu bersatu hati dalam usaha mengubah nasib keluarga. Pada masa yang sama, mereka tidak boleh mudah berputus asa.

Oleh itu, beliau cuba mengambil upah menjahit pakaian dan langsir. Tambahan pula, ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Menyedari kurangnya tempahan daripada orang ramai kerana masing-masing tidak menyambut Syawal dan berkurung di rumah, Ayie mencuba perniagaan lain seperti menjual petai, baju raya, makanan, dan apa jua barang yang boleh dijual bagi membantu melengkapkan keperluan keluarga.

Memandangkan suaminya sudah tidak mampu bekerja, tambahan pula menghidap strok pada tahun 2017, keadaan ini lebih menyukarkan pergerakannya.

Ramadan tanpa suami

Lantaran itu, mereka sepakat untuk suami menguruskan anak-anak di rumah, sementara Ayie boleh terus berniaga.

"Waktu itu, kami mula mencuba menjahit sofa. Dengan bantuan anak sulung dan suami, alhamdulillah, tempahan cukup memberangsangkan, terutama daripada penduduk setempat dan rakan-rakan.

"Lama-kelamaan, perniagaan lebih lancar, dan kami maju ke hadapan dengan perkhidmatan membaik pulih sofa atau kerusi yang sudah rosak. Saya peminat seni, jadi pekerjaan ini sesuai dengan jiwa saya.

"Rasa sangat puas hati apabila dapat mencantikkan sofa yang buruk,” katanya lagi, yang kini pemilik Perniagaan AZNUR Enterprise.

Wanita tabah itu turut berkongsi pengalaman paling indah sepanjang berniaga apabila mendapat tempahan khas dari Istana Selangor untuk membaik pulih semula kerusi lama.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, tawaran itu diterima dengan penuh rasa syukur.

Kegembiraan meniti hari-hari bahagia bertukar duka apabila insan yang menjadi tulang belakang pergi buat selama-lamanya.

Lebih memilukan, inilah sambutan Ramadan pertama suami tersayang di sisi.

Pun demikian, dia sedar, hidup perlu diteruskan demi anak-anak.

"Walau jatuh berpuluh kali, saya perlu bangkit. Doakan yang terbaik buat saya dan anak-anak,” ungkap Ayie dengan nada sayu.