HANCUR luluh hati seorang ibu apabila anak lelakinya yang baru berusia tujuh tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah rendah dekat Perlis, baru-baru ini.
Tragedi memilukan itu berlaku apabila anak kecilnya, Nadeem Rizqi, dipercayai ditolak kasar oleh rakan sebaya sehingga tubuh kecilnya jatuh tersembam ke lantai, dan hentakan kuat itu mengenai bahagian alat sulitnya.
Menerusi luahan pilu di Facebook, ibu yang juga pemilik akaun Ayu Wd mendedahkan bahawa insiden menyayat hati itu berlaku pada 6 Mac lalu.
Ketika itu, anak lelakinya sedang dalam perjalanan menuju ke kelas selepas menikmati makanan di kantin, tanpa menyangka kejadian itu akan berlaku.
"Jadi, waktu rehat ketika dia berjalan kaki hendak masuk ke kelas dari kantin.
"Nadeem jatuh dalam keadaan tersembam, hentakan yang kuat selepas ditolak oleh kawan dari arah belakang oleh kawan Darjah 1 dari kelas sebelah," tulisnya.
Namun, murid Darjah Satu itu tidak segera melaporkan kejadian tersebut kepada guru bertugas dan hanya mendiamkan diri sambil menahan kesakitan.
Hanya selepas dijemput oleh ibunya, barulah si kecil itu memberanikan diri untuk menceritakan apa yang telah berlaku sepanjang hari itu.
Runtun jiwa seorang ibu saat mendengar luahan anak kecilnya itu. Lebih memilukan apabila dia mengetahui zakar Nadeem mengalami pendarahan hingga mempunyai kesan darah beku di seluar dalamnya.
"Anak saya diam, tidak ceritakan kepada mana-mana cikgu. Ketika kejadian, ada kawan-kawan sekelasnya datang membantunya.
"Ketika saya jemput dia pulang dari sekolah, baru dia cerita bahawa kawannya menolak dia sampai zakar dia berdarah.
"Saya sangat terkejut. Terus bawa anak dapatkan pemeriksaan lanjut," kongsinya.
Sebagai seorang ibu yang ingin melindungi anaknya, Ayu mengambil langkah tegas dengan membuat laporan polis dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Ayu turut memaklumkan bahawa murid dari kelas sebelah yang terlibat dalam insiden tersebut telah mengakui perbuatannya kepada guru.
Siapa sangka, insiden yang menimpa si kecil itu berlaku ketika Nadeem masih dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu setelah baru sahaja mendaftar di sekolah berkenaan tiga minggu sebelumnya.
Akibat daripada perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu, Nadeem terpaksa menerima rawatan dan dimasukkan ke wad selama lapan hari sebelum dirujuk ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk pemeriksaan lanjut.
Demi memastikan kejadian sama tidak berulang dan membantu proses pemulihan trauma anaknya, Ayu mengambil keputusan untuk menukar sekolah Nadeem agar dia dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.
"Doakan trauma Nadeem Rizqi beransur pulih, ya. Trauma dia sampai terpaksa dipindahkan ke sekolah lain untuk mendapatkan persekitaran yang baharu.
"Sampai ke besar pun dia takkan lupa trauma ini, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku pada bahagian alat sulitnya. Nyawa lelaki terletak pada bahagian itu, kot.
"Pedih, luluh hati seorang ibu. Aku jaga dia elok-elok dari kecil, tapi belum pun habis tiga minggu sekolah, sudah ada yang membulinya," ujarnya.