SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera di bahagian dagu selepas menjadi mangsa ragut di sebuah apartmen di Presint 11, Putrajaya, pada Rabu.
Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.46 pagi itu, mangsa yang berada di rumah bersama ahli keluarganya telah didatangi seorang lelaki yang mengetuk pintu rumah dan bertanya sama ada terdapat bekalan air atau tidak.
"Suspek kemudian berpura-pura meminta mangsa menyambungkan paip getah ke bilik air dan mengisi air ke dalam tong berwarna putih.
"Sebaik sahaja mangsa menyerahkan tong air berkenaan, suspek tiba-tiba menarik rambutnya dan meragut rantai emas di leher sebelum melarikan diri. Kerugian dianggarkan sebanyak RM5,530,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

