'Macam neraka dunia.' Trauma Aidilfitri bertukar tragedi, mangsa kebakaran dedah lihat api menjulang tinggi & sangat panas, melecur demi selamatkan nyawa 

Iklan

MASIH segar dalam ingatan Eksekutif Sumber Manusia, Muhammad Amirul Azhar Mohd Yasin, 28, tragedi kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada Selasa lalu.

Masakan tidak, sambutan perayaan Aidilfitri pada tanggal 1 April itu berubah menjadi tragedi kira-kira jam 8.15 pagi.

Kepada SinarPlus, Muhammad Amirul Azhar yang beraya di rumah mentuanya di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong sempat berkongsi pengalaman pahit penuh trauma yang disifatkannya seumpama kiamat.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Kebakaran tersebut merebak dengan pantas hingga ke belakang rumah menyebabkan masing-masing menyelamatkan diri.

"Saya nampak api menjulang tinggi dan sangat panas. Ketika itu saya terpisah dengan isteri saya, Nur Izzati Alia dan saya katakan kepadanya, 'Kita lari.'

"Tetapi isteri melepaskan tangan yang dipegang dan pergi ambil selipar menyebabkan saya berlari seorang diri.



"Sehinggalah saya berada di kawasan selamat dan menangis kerana isteri belum tiba. Orang ramai kata mereka tidak melihat keberadaan isteri. Saya tunggunya dan Alhamdulillah dia ada walaupun mengalami kecederaan," katanya.

Menjelaskan situasi ketika awal kebakaran, Muhammad Amirul Azhar berkata gegaran kuat dirasai diikuti letupan.

Bimbang akan berlaku letupan susulan, beliau mengambil keputusan menyelamatkan diri bersama keluarga dengan pantas.

"Hanya lari sahaja. Tidak pandu kereta mahupun terfikir untuk menyelamatkan dokumen. Kami hanya mahu menyelamatkan nyawa," katanya.

Seramai sembilan ahli keluarganya termasuk seorang kanak-kanak turut mengalami kecederaan melecur di anggota badan mereka akibat insiden yang berlaku sekitar jam 8.15 pagi.



"Lecuran yang dialami agak serius. Kebanyakan ahli keluarga melecur sama ada di bahagian kaki, lengan dan leher. Saya juga mengalami kesan lecur di belakang badan kerana lari daripada kebakaran tersebut.

"Paling teruk adalah abang ipar saya, melecur di seluruh bahagian belakang badannya. Buat masa ini, doktor beritahu keadaan semua pesakit terlibat dalam kebakaran mengalami kesan lecur tahap dua,” katanya.

Sudah discaj selepas menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Muhammad Amirul Azhar kini giat menguruskan hal berkaitan bantuan, laporan polis dan menjaga ahli keluarga lain yang sedang dirawat.

"Saya seorang diri sahaja, kena kuatkan diri. Tak boleh ikutkan sangat trauma itu.

"Kini kenderaan pun tiada, saya mengharapkan bantuan daripada Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) dan Chery Malaysia yang memberikan bantuan kereta," katanya.

Tidak menolak perasaan sayu susulan bencana menimpa, Muhammad Amirul Azhar berharap nasib mangsa sama ada penduduk Putra Heights atau kampung di sekitar yang terjejas mendapat pembelaan sewajarnya.

"Tetapi kita tunggu sahaja laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan berharap ada keadilan bukan sahaja kepada penduduk Jalan Putra Harmoni, tetapi juga penduduk Kampung Kuala Sungai Baru," katanya.



"Kalau diikutkan, Perdana Menteri akan menyalurkan bantuan sebanyak RM5,000 dan RM2,500 kepada penduduk yang terjejas. Namun, diharapkan pampasan untuk rumah dan kenderaan juga diberi.

"Sementelah tidak semua penduduk kampung memiliki polisi insurans, semoga ada justifikasi dan keadilan daripada kerajaan serta pihak yang terlibat," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights mengakibatkan letupan api menjulang lebih 20 tingkat dan mencecah suhu 1,000 darjah Celsius.

Kebakaran yang bermula kira-kira jam 8 pagi mencetuskan letupan kuat dan gegaran di kawasan sekitar serta api marak yang menjulang lebih 100 kaki (30 meter) ke udara.

Kebakaran itu berlarutan kira-kira lapan jam dan memusnahkan rumah serta harta benda.

Selain 305 mangsa cedera akibat melecur dan tersedut haba panas, sebanyak 365 buah kenderaan terbakar melibatkan 275 kereta serta 56 motosikal dalam kejadian menyayat hati itu.