KEBAIKAN seorang wanita ini menjadi perhatian warga maya apabila tidak berkira menerbangkan ahli keluarga pembantunya sempena Aidilfitri.
Masakan tidak, video penuh air mata yang dikongsi pengguna TikTok NadiahMDin itu meraih lebih 200,000 tontonan bikin netizen sebak.
Segala perancangan dibuat secara rahsia dan dilakukan begitu rapi. Pada hari 'kejadian', pembantu bernama Mala itu diminta menyediakan makanan untuk tetamu dari Perancis yang menetap di Indonesia.
"Alhamdulillah, Bibik bertemu semula dengan dua anak dan ibu pada raya kali ini. Ia adalah penerbangan pertama anak-anaknya.
"Kejutan besar ini dirancang sejak empat bulan lalu. Saya suruh dia masak lauk raya dan sambal balado sebab 'tetamu' ini suka makanan Indonesia," titip Nadiah.
Dedahnya lagi, beliau terpanggil menemukan Mala dan dua anaknya selepas terdengar perbualan telefon yang menyentuh hati.
"Apa yang mendorong saya melakukan ini? Saya mendengar panggilan itu.
"Selepas terdengar perbualan Bibik dan anak-anak. Kata anaknya,"rindu sama masakan mama, boleh tak kalau kita bersatu seperti dahulu? Zarah rindu masakan mama."
"Dia jawab,"Tiada apa-apa, perkara biasa rindu anak anak."
"Saya benar-benar memahami perasaan itu. Mereka kini akan bersama kami selama kira-kira 12 hari! Doakan semuanya akan baik," kongsi Nadiah.
Tidak sedikit persediaan yang dilakukan. Difahamkan Nadiah telah membuat perancangan rapi dengan kakak Mala di Indonesia termasuk proses menyediakan pasport untuk ketiga-tiga mereka.
Memakan masa beberapa bulan, ia bukan mudah kerana dua anak Mala masih di bawah umur namun segalanya berjaya dengan bantuan suami Mala dan ahli keluarga.
Tiba pada hari dinantikan pada Syawal ketiga, Mala dipanggil keluar rumah untuk mengambil barang.
Menerusi klip yang dikongsikan, Mala langsung tidak menjangka kehadiran tiga insan tersayang dan benar-benar terkesima melihat sosok mereka di depan mata.
Mala yang sebak dilihat menerpa dan memeluk kedua-dua anaknya serta si ibu.
Dia cukup terharu dengan kejutan itu dan berterima kasih atas kebaikan Nadiah.
Warganet tersentuh dengan kejutan yang cukup bermakna tersebut, ramai mendoakan majikan yang baik hati itu diberikan balasan oleh ALLAH. Tidak kurang memuji sifat insani dalam diri Nadiah tang sanggup menghilangkan kerinduan pembantunya.
"Sedih, baik majikannya. Moga sentiasa dirahmati oleh ALLAH aamiin."
"Terbaik Nadiah, semoga lancar semuanya urusan Nadiah sekeluarga."
"Terima kasih kerana membuat saya menangis, sangat menghargai usaha awak untuk mengumpulkan mereka sekeluarga pada hari yang indah ini. Orang yang baik itu benar-benar wujud, awak benar-benar memberi inspirasi kepada kami."
"Pembantu yang jujur sukar dicari. Jika ada hargailah. Moga ALLAH berikan awak berjuta kali ganda kegembiraan."
Sumber: TikTok